TERKINI

Hadkan Perbelanjaan Kempen Pilihanraya – Tun Mahathir

Foto Pejabat TDM

PUTRAJAYA, 8 Mei 2023 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan cara terbaik untuk menghapuskan rasuah semasa pilihan raya umum (PRU) ialah dengan mengehadkan perbelanjaan parti semasa berkempen.

Sebagai contoh katanya, jika jumlah bendera atau sepanduk atau papan iklan dihadkan bagi suatu kawasan yang ditandingi maka perbelanjaan boleh dikurangkan ketika PRU.

“Katakanlah jika parti letak calon dalam satu kawasan, hanya 100 bendera, 20 sepanduk dan dua papan iklan dibenar, jadi kos kempen tidak akan menjadi tinggi.

“Saingan antara parti kaya dan miskin akan menjadi lebih adil,” katanya dalam kenyataan dimedia sosial twitter.

Beliau juga berkata, perkara penting adalah mengehadkan keghairahan memasang bendera, sepanduk dan papan iklan sekali gus menjadikan pertandingan lebih adil.

“Yang kurang kewangan pun boleh harap menang. Pada masa sama rasuah akan dikurangkan kerana kempen tidak perlu dana besar,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sogokan ketika PRU boleh dikurangkan menerusi orang ramai menggunakan kamera untuk merekod dan membuat laporan.

Ujarnya, begitu juga pihak polis dan badan pencegah rasuah perlu menggunakan kamera untuk mengurangkan perbuatan sedemikian.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, sekiranya terdapat tiga kes sogokan semasa bertanding pilihan raya maka pencalonan parti berkenaan perlu dibatal.

“Memang sogokan kepada pengundi boleh disembunyi. Tetapi amalan sogokan secara terbuka seperti dilakukan dalam PRU15 akan dikurangkan.

“Sedikit sebanyak ia berkesan dalam pengurangan sogokan.

“Jika satu dua kes dikena tindakan, parti-parti akan lebih berjaga-jaga dan tidak akan sogok wang secara yang boleh dikesan,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp