TERKINI

Hakim Mahkamah Tinggi Terkhilaf Dalam Isu Bahasa Pengantar Sekolah Vernakular – Haniff Khatri

foto malayadaily.com

PUTRAJAYA, 7 Julau 2023 – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular adalah sah serta berperlembagaan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah, Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali turut terkhilaf apabila memutuskan penggunaaan kedua-dua bahasa itu dilindungi di bawah Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Hujah beliau, hakim berkenaan juga terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan bahawa sekolah vernakular atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bukan pihak berkuasa awam (Public Authorities) kerana tidak memenuhi elemen awam.

Sebaliknya Mohamed Haniff berhujah, sekolah vernakular merupakan pihak berkuasa awam dan diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pengantara pengajaran dan pembelajaran.

Beliau menghujahkan, hakim berkenaan turut terkhilaf ketika melupuskan kes saman itu secara terus menerusi Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Hujah peguam itu, ini kerana ia menafikan hak perayu untuk memanggil saksi bagi memberi keterangan bagaimana kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menimbulkan keadaan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Mohamed Haniff Khatri memohon Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung keabsahan sekolah vernakular, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Malaysia.

NGO berkenaan memohon mendapatkan deklarasi bahawa kewujudan sekolah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perayu-perayu terdiri daripada Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Prosiding itu turut melibatkan rayuan kumpulan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 29 Mei 2022.

Hakim Mohd. Abazafree Mohd. Abbas menolak saman i-Guru yang memohon perisytiharan Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, tidak konsisten dengan Perlembagaan.

Rayuan itu didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.

Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes esok bagi menentukan tarikh pendengaran rayuan berikutnya.

NGO berkenaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 yang menolak saman berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah tersebut.

Hakim Mohd. Nazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Cina dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Beliau berpendapat, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang bukan bahasa Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina serta Tamil, tidak bercanggah dengan Perkara 152(1).

Hakim berkenaan turut berpendirian, ketika ini, terdapat lebih 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara dengan kira-kira setengah juta pelajar daripada komposisi kaum yang berbeza secara keseluruhan.

“Oleh itu, penggunaan bahasa terbabit tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan dilindungi di bawah pengecualian dalam Perkara 152(1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Tafsiran yang benar dan tepat kesemua proviso ini dalam Perkara 152(1) tidak menghalang penubuhan dan penyelenggaraan sekolah vernakular yang turut menggunakan Kurikulum Kebangsaan seperti yang diterima pakai oleh semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Negara,” katanya.

Beliau juga memutuskan bahawa tidak ada asas untuk menyatakan bahawa penubuhan serta kewujudan sekolah vernakular adalah tidak konsisten atau bercanggah dengan Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu berkata dalam apa jua keadaan, tidak pernah dibuktikan bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular telah mencabuli hak asasi mana-mana orang seperti yang dijamin dalam Perkara terbabit di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam saman yang difailkan, plaintif telah menamakan Kerajaan Malaysia dan 13 lagi sebagai defendan.

Antaranya ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp