TERKINI

Hamas bukan pengganas, tapi pejuang kebebasan, kata Ismail Haniyeh

Perbualan telefon Mahathir Mohamad dan Ismail Haniyeh – foto X Chedetofficial

PUTRAJAYA, 3 Nov 2023 – Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh meminta bantuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memperbetulkan propaganda jahat mengaitkan kumpulan itu dengan kegiatan pengganas.

Dalam perbualan telefon dengan Mahathir, pemimpin utama Hamas itu memohon Mahathir menjelaskan kepada komuniti antarabangsa Hamas adalah pertubuhan rakyat Palestin yang sah untuk mendapatkan kebebasan daripada kekejaman Israel.

“Ismail Haniyeh meminta Mahathir membetulkan naratif yang di bawa Israel dan dunia Barat yang menyamakan perjuangan Hamas dengan ISIS dan Daesh.

“Hamas bukan kumpulan pengganas sebaliknya merupakan organisasi sah rakyat Palestin yang disokong rakyat Palestin dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Komuniti antarabangsa perlu memperbetulkan propaganda dan fakta tersebut,” katanya, dalam rakaman video yang disiarkan di media sosial X milik Mahathir.

Ismail juga menegaskan, tindakan Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober lepas adalah sebagai balasan terhadap kekejaman yang dilakukan Israel sejak berdekad lama di wilayah tersebut.

“Apa yang berlaku pada 7 Okt bukanlah secara tiba-tiba tetapi tindakan susulan akibat kekejaman Israel di Al Quds, Tebing Barat, dan Gaza. Pencerobohan di Gaza dan Tebing Barat termasuk serbuan di Al Aqsa setiap hari,” katanya.

Susulan itu, Mahathir memberi jaminan beliau turut berkongsi pandangan sama dan menyokong gencatan senjata dilakukan antara kedua-duanya pihak, Hamas dan Israel.

“Saya berkongsi pendapat sama ini bukan tindakan pengganas, ini adalah rakyat Palestin mahu mendapatkan semula tanah mereka, kebebasan mereka tetapi Israel cuba merampas lebih banyak tanah Palestin dan bunuh banyak rakyat Palestin

“Tindakan Hamas diakui sepenuhnya, kita akan jelaskan kepada orang lain selain menyokong gencatan senjata, bukan hentikan sementara tetapi gencatan perang.

“Tiada alasan Israel untuk ceroboh Gaza melalui jalan darat. Komuniti antarabangsa perlu gesa Israel lakukan gencatan senjata,” kata Mahathir.

Facebook
Twitter
WhatsApp