TERKINI

Hanya Melayu Bersama Islam Jadikan Semua Bangsa Selamat – Hj Hadi

Haji Hadi Awang – Foto PAS Pusat

KUALA LUMPUR, 11 April 2023 – Hanya Melayu yang tidak sayangkan kaumnya yang berada di luar tabii atau tegak bersama fanatik kaumnya sahaja merosakkan Melayu itu sendiri dan merosakkan semua bangsa dalam masyarakat majmuk.

“Sebaliknya, hanya Melayu yang tegak bersama Islam akan menjadikan Melayu selamat dan semua bangsa selamat,” kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang  menerusi tulisan Minda Presiden Pas di Facebook miliknya.

Menurut beliau, sekiranya orang Melayu angkuh seperti iblis, sudah pasti mereka tidak akan memeluk Islam dengan mudah.

Jelas beliau, ini kerana Islam dibawa oleh pendatang asing daripada kalangan bangsa Arab dan India Muslim yang bukan Melayu.

Menurutnya, apa yang sebenarnya berlaku, Melayu yang berkuasa dan mendaulatkan Islam tidak memaksa penganut agama lain memeluk Islam.

Tetapi melaksanakan Islam yang adil kepada semua sehinggakan mereka berjaya mengislamkan kaum bangsanya sendiri dan kaum lain dalam kalangan bukan Islam yang datang ke sini.

“Teguhnya pegangan Islam bangsa Melayu ini sehingga gagal dimurtadkan oleh penjajah yang datang silih berganti bermula dengan Portugis sehinggalah Belanda, British dan Jepun.

“Melayu tidak boleh dimurtadkan sepertimana yang berlaku di negara-negara lain, apatah lagi dipengaruhi oleh ideologi komunis yang tidak percayakan Tuhan.

“Akan tetapi hanya segelintir sahaja yang terlalu bebal dan buta al-Quran. Sesiapa yang murtad, mereka dianggap bukan Melayu lagi.

“Sifat Islam yang masih ada kepada Melayu menjadikan mereka boleh menerima masyarakat majmuk yang dipaksa oleh penjajah atas sifat kemanusiaan Melayu Islam yang ada dalam dirinya. Sehinggakan, satu keluarga bukan Islam boleh berada di tengah masyarakat Melayu yang besar jumlahnya.

Abdul Hadi menambah, Melayu dituduh angkuh dibandingkan dengan Kemboja menunjukkan jahil tentang sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Islam di negara itu atau kerana buta hatinya.

Ujar beliau, Islam pernah dianut oleh bangsa Champa iaitu rumpun Melayu di Indochina yang memerintah Kerajaan Champa.

“Pengaruh kerajaan ini berkembang dalam wilayah yang luas sehingga wujudnya Pangkalan Champa (Pengkalan Chepa) di Kelantan.

“Malangnya, kerajaan ini mengalami kelemahan dan kejatuhan sehingga rumpun Melayu Champa menjadi kumpulan minoriti yang merempat kemiskinan dan kejahilan dalam tanah air mereka sendiri, sehingga mereka menjadi lemah tidak bermaya.

“Pada era komunis, ramai penganut Islam dibunuh dan paling ramai yang berhijrah ke Malaysia. Kalau Melayu ini angkuh, mereka tidak akan memilih Malaysia sebagai tempat hijrah untuk menyelamatkan agama mereka,” katanya. – sumber MalaysiaGazette

Facebook
Twitter
WhatsApp