TERKINI

Hanya SPRM ‘Layak’ Tafsir Perlakuan Rasuah Atau Tidak, Kata Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – foto Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam nada menyindir, menyifatkan hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang ‘layak’ mentafsirkan sesuatu perlakuan itu rasuah atau tidak.

Beliau mengulas dalam satu hantaran facebook yang merujuk kepada kenyataan Tan Sri Azam Baki yang berkata pemberian geran oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada belia di Terengganu, tidak menjadi satu kesalahan rasuah.

“PMX berkali-kali sebut bahawa kerajaannya akan hapus rasuah.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini duit kerajaan diberi oleh PMX (Perdana Menteri) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dengan kenyataan bahawa penerima hendaklah sokong parti kerajaan.

“Jikalau ini bukan rasuah, saya tidak tahu apa dianya rasuah.

“Tetapi MACC (SPRM) berkata perbuatan ini bukan rasuah.

“Siapa yang lebih layak mentafsir sesuatu perlakuan itu rasuah atau tidak selain Badan Pencegah Rasuah.

“Okaylah. Ini bukan rasuah. Ujar Mahathir.

Baru-baru ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemberian geran berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia semasa Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Terengganu.

Terengganu adalah antara enam negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp