TERKINI

Harga bawang India naik hingga Mac, susulan sekatan eksport – KPDN

Gambar hiasan – foto NSTP

KLANG, 10 Jan 2024 – Harga bawang dari India naik susulan sekatan eksport yang dikenakan negara itu ketika ini, akui Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, tindakan kerajaan India menyekat eksport bawangnya sehingga 31 Mac ini adalah disebabkan pilihan raya yang sedang berlangsung, selain mahu memastikan bekalan domestik mereka mencukupi.

“Itu dasar kerajaan negara luar yang berada di luar kawalan kita. Saya sahkan sendiri kenaikan harga bawang India ini berdasarkan laporan pemantauan dan di peringkat KPDN, kita bertanggungjawab dalam penguatkuasaan serta pemantauan.

“Kenaikan ini bukan berlaku ketika ini sahaja, malah sebelum ini juga berlaku kenaikan susulan ia bergantung pasaran terbuka dengan sistem sedia ada kita bergantung kepada barang luar. Jadi, dasar negara tertentu tidak kita kawal,” petik Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi mengulas kenaikan harga bawang India yang dikatakan lebih 30 peratus sejak bulan lalu.

Menurut Armizan, KPDN sudah memaklumkan isu itu kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam usaha mencari alternatif meningkatkan bekalan bawang di negara ini.

BH sebelum ini melaporkan harga bawang India di pasar naik lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram sejak bulan lalu berikutan bekalan terhad, selain harga tidak menentu daripada pembekal. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp