TERKINI

Tun M tak pernah berkata buruk di belakang tentang Musa dan Ku Li

Sejak kebelakangan ini pelbagai pandangan diketengahkan mengenai keperibadian Tun Dr Mahathir Mohamad dalam saluran-saluran media samada bernada positif ataupun negatif.

Ini membuktikan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad masih relevan dalam lanskap mahupun persada politik tanahair.

Musuh-musuh politik Tun Dr Mahathir Mohamad khususnya dari kerajaan masa kini, berusaha keras mencari pelbagai kaedah untuk melakukan ‘pembunuhan karakter’ terhadap mantan Perdana Menteri dua kali ini tetapi Allah swt senantiasa membela beliau.

Mertabat serta darjat Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa dipelihara oleh Allah swt dan sehingga kini ramai rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu masih menghargai wadah perjuangannya.

Dunia luar pula senantiasa menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri pentas-pentas forum bertaraf dunia untuk menimba ilmu pengetahuan dari beliau selaku seorang tokoh negarawan yang disegani dunia.

Di negara kita nama-nama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam adalah nama-nama besar khususnya ketiga-tiga tokoh pemimpin ini hampir seangkatan dalam persada politik negara khasnya ketika aktif dalam parti UMNO pada suatu masa dahulu.

Apa yang menarik perhatian kita adalah ketiga-tiga tokoh-tokoh pemimpin politik ini adalah bersifat ‘strong character’ yang sentiasa mempunyai kepelbagaian pendapat mahupun prinsip politik masing-masing.

Secara peribadi saya amat menghormati ketiga-tiga tokoh pemimpin ini yang masih berada dengan kita sehingga kini yang masing-masing amat kaya dengan ilmu politik.

Cuma apa yang berbeza sedikit diantara ketiga-tiga tokoh pemimpin ini walaupun pada usia 99 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad masih berjuang secara aktif dalam lanskap politik tanahair sehingga kini.

Tenaga serta ‘endurance’ politik Tun Dr Mahathir Mohamad masih amat bertenaga dan berjarak jauh sampai sekarang.

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah lekang di mulutnya berkata selagi ‘badan dikandung hayat’ beliau akan terus berjuang untuk masa depan bangsa, agama dan negaranya.

Dalam ertikata lain, Tun Dr Mahathir Mohamad dari dulu sehingga kini sentiasa ‘membakar dirinya untuk menerangi penghidupan orang lain’ kerana sifatnya terlalu obses untuk melihat kecemerlangan bangsa serta negaranya.

Sejak saya aktif politik bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, dapatlah disimpulkan bahawa dalam karier politik beliau; pegangan prinsip diri yang terlalu kental selalu memakan dirinya sendiri.

Tokoh negarawan terulung ini tidak akan berkompromi dengan apa saja bentuk salahlaku dan amalan yang bakal melanggari prinsip diri beliau.

Atas dasar ini jugalah saya sentiasa menyatakan bahawa sanggup menggadai nyawa sekalipun demi wadah perjuangan mulia Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menegakkan kebenaran.

Dalam mana-mana wadah perjuangan untuk menegakkan kebenaran Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah menipu atau mereka cerita bagi menganiayai orang lain.

Tindakan atau gerak langkah politiknya bersandarkan fakta yang hakikat dan hakiki.

Faktor-faktor inilah yang membuatkan saya begitu selesa serta ‘compatible’ untuk berjuang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambahan pula, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah bercakap buruk atau nengecam personaliti-personaliti yang juga saya turut sayangi seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Tun Musa Hitam.

Secara jujur dan ikhlas. Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah berburuk sangka pada Tengku Razaleigh Hamzah khususnya sehingga hari ini.

Bila saja kami berhadapan dengan apa saja wadah perjuangan demi untuk mempertahankan bangsa,agama dan negara; Tun Dr Mahathir Mohamad selalu mengingatkan saya agar menjemput bersama Tengku Razaleigh Hamzah.

Tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan bahawa saya adalah ‘posman’ ataupun ‘jambatan’ di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Sepertimana yang saya nyatakan di awal coretan ini tidak pernah sekalipun saya mendengar dan melihat Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap buruk mengenai Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam. Alhamdulillah.

Semoga Allah swt terus memelihara tali silaturrahim serta persahabatan mereka hingga ke jannah. Insya-Allah. Ameen.

-tamat-

Khairuddin Abu Hassan, Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional
23 Mei 2024

Facebook
Twitter
WhatsApp