KUALA LUMPUR, 30 Mei 2023 – Purata harga realisasi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih rendah menjadi sebab TH Plantations Bhd (THP) mencatatkan keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI) sebanyak RM11.5 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2023, berbanding RM21.6 juta pada suku sama sebelumnya.
Kumpulan perladangan itu merekodkan pendapatan RM146.4 juta pada suku pertama itu, merosot 26.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Walau bagaimanapun, pengeluaran dan pemprosesan buah tandan segar (FFB) kumpulan untuk tempoh itu, masing-masing meningkat sebanyak 8.7 peratus dan 16.0 peratus.
Keluaran MSM kumpulan dan jumlah jualan meningkat sebanyak 12.9 peratus dan 15.4 peratus serentak berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Keluaran PK dan jumlah jualan masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 19.2 peratus dan 20.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain dalam satu kenyataan berkata, THP terus mencapai kemajuan yang memuaskan walaupun dalam persekitaran operasi mencabar yang berterusan.
Beliau berkata, di peringkat operasi, tumpuan pihaknya adalah untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan termasuk menjamin tanaman dan mekanisasi, serta meneruskan program penanaman semula.
THP menjangkakan harga minyak sawit kekal tidak menentu pada suku kedua, memandangkan sentimen bekalan minyak makan yang mencukupi, jangkaan ekonomi yang lebih lemah di seluruh dunia dan tekanan inflasi daripada harga makanan dan tenaga yang tinggi yang dijangka menjejaskan permintaan.
Ia juga sedang memantau kesan El Nino dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Namun begitu, kumpulan perladangan itu sentiasa bersikap optimistik dan berhati-hati terutamanya disebabkan oleh strateginya yang mantap untuk menangani isu berkenaan dan usaha berterusan untuk mengurangkan cabaran itu.
Dengan tanpa sebarang keadaan yang tidak diduga, kumpulan menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan 2023. – Berita Harian