TERKINI

Malaysia Belum Bersedia Untuk Dwi Kewarganegaraan, Kata Pakar Perlembagaan

Gambar hiasan – foto Tempo.co

KUALA LUMPUR, 28 Sept 2023 – Malaysia belum bersedia untuk mempunyai sistem dua kerakyatan kerana ia bakal membuka ruang pelanggaran kedaulatan negara serta sabotaj ekonomi, kata Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Beliau berkata, sistem kewarganegaraan tunggal adalah perkara yang melibatkan kesetiaan kepada Raja dan negara yang menjadi prinsip Rukun Negara kedua.

“Selain itu, prinsip sedia ada perlu juga dipertahankan bagi mengelakkan masalah agak kompleks akibat dwi kewarganegaraan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Kesetiaan katanya adalah teras kepada konsep kewarganegaraan tunggal sebagaimana disebut dalam Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Reid 1957.

Beliau berkata, prinsip dalam Perkara 24 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk melucutkan kewarganegaraan ke atas warga negara yang memperoleh kewarganegaraan negara lain juga perlu dikekalkan.

“Perlu diingat juga, sebarang perubahan berkaitan kewarganegaraan mempunyai kesan langsung kepada struktur asas Perlembagaan yang memiliki prinsip berkaitan kedudukan Raja-raja Melayu, Islam dan keistimewaan Bumiputera.

“Bahkan sebarang pindaan membabitkan Bahagian III Perlembagaan iaitu peruntukan yang berkaitan dengan kewarganegaraan hanya boleh dilakukan dengan persetujuan Majlis Raja-raja Melayu,” katanya.

Kerajaan tegasnya tidak perlu menganggu isu sensitif seperti itu.

Sepatutnya soal yang sensitif yang berisiko ini dikekalkan status quo dan tidak diusik oleh mana-mana pihak. Keutamaan masa kini adalah untuk mengukuhkan ekonomi negara ketika ekonomi dunia yang tidak menentu, serta membela nasib rakyat yang mengalami tekanan hidup akibat kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Felo Kanan Akademi Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan, pula berkata tiada sebarang keperluan untuk kerajaan mengkaji konseo dwi kerakyatan untuk warganegara Malaysia.

Katanya tiada faedah untuk perkara itu dibincangkan selain melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Banyak negara di dunia tidak membenarkan dwi kerakyatan kerana isu taat setia kepada negara dan seperti di Malaysia kesetiaan dan ketaatan itu perlu jitu dan padu

“Jika rakyat kita mempunyai kerakyatan negara lain maka taat setia itu berbelah bagi, lebih bahaya jika taat setia itu bertentangan dengan negara kita,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini dilapor berkata soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincangkan lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama. – NST

Facebook
Twitter
WhatsApp