TERKINI

Putra Buat Laporan Polis Isu Penajaan Pelajar Perubatan

foto putra

KUALA LUMPUR, 1 April 2023 – Parti Putra membuat laporan polis berhubung pemberhentian penajaan pelajar perubatan dan kejururawatan disini, semalam.

Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, tindakan itu secara tidak langsung melanggar Perkara 153 (2) dan 153 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Pemberhentian atau pembatalan penajaan biasiaswa terutama kepada pelajar Melayu merupakan satu pencabulan terhadap keistimewaan yang telah diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama,” jelasnya.

Tegas beliau, seharusnya semua pihak menghormati hak biasiswa kepada Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara sejak sekian lama.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan pelajar perubatan, kejururawatan atau sebagainya, isunya adalah semua bidang pelajaran yang membabitkan Bumiputera sebab hak istimewa orang Melayu yang saya sebutkan tadi Fasa 153 (2) dan Fasa 153 (3) menjadi kewajipan kerajaan.

“Tidak kira siapa sahaja memerintah negara ini, biasiswa ini adalah milik istimewa orang-orang Melayu. Saya ingin mengajak orang Melayu dan Bumiputera supaya menyedari, menginsafi dan bangkit bersama menuntut hak kita orang Melayu yang semakin terhakis terutama biasiswa.

Mengulas isu yang sama, Ibrahim mendesak satu siasatan dilakukan sama ada wujud unsur mala fide dalam usaha menafikan secara halus dan terancang hak orang Melayu yang telah dilindungi di bawah Perlembagaan.

Beliau mahu satu siasatan yang menyeluruh bagaimana serta siapa yang telah memberikan arahan berkaitan pemberhentian atau pembatalan yang merupakan satu pelanggaran undang- undang yang jelas itu.

“Selain itu, ia juga merupakan satu perbuatan bersifat jenayah dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Katanya.

Pada 23 Mac lalu, media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memutuskan tidak akan menawarkan tajaan kursus perubatan, pergigian dan farmasi.

Sebaliknya, tajaan itu hanya untuk mereka yang melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti awam dan politeknik premier yang telah dipilih oleh jabatan. – malaydaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp