TERKINI

Doa Salahuddin Segera Sembuh, Anjur Solat Hajat Agar Dipermudah Urusan – Khairuddin Abu Hassan

Khairuddin Abu Hassan – foto ABC

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2023 – Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengajak rakan-rakan berdoa dan menganjurkan solat hajat, mendoakan kesembuhan ke atas Datuk Seri Salahuddin Ayub yang disahkan mengalami pendarahan otak.

Khairuddin yang juga kenalan rapat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, beliau merasa amat sedih dan akan menganjurkan solat hajat agar Allah memberi kemudahan kepada Salahuddin.

“Saya baru tadi dapat berita ini, saya rasa amat sedih, saya berdoa dan kami akan anjurkan solat hajat untuk Allah s.w.t mepermudahkan segala urusan perubatan YB Datuk Seri Salahuddin Ayub dan saya berdoa beliau cepat sembuh.

“Walaupun kita mempunyai perbezaan fahaman politik buat masa ini, ini (Salahuddin Ayub) adalah sahabat-sahabat karib saya, inilah antara sahabat-sahabat yang ketika saya berada dalam parti AMANAH yang menjaga saya dengan begitu baik dalam apa jua keadaan.

“Saya akui dia, beliau sahabat saya dunia akhirat, saya berdoa Salahuddin cepat sembuh.

Terdahulu Setiausaha Akhbar Salahuddin, Nur Syakirin Husnal dalam satu kenyataan memaklumkan Salahuddin disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam selepas mengalami mual dan muntah-muntah. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp