TERKINI

Apa Makna Dalam Perlembagaan Parti DAP

Azman Hashim – malayadaily.com

Kita tidak membenci kaum Cina ataupun anti-Cina dan saya percaya setiap dari kita pasti ada kenalan yang berbangsa Cina.

Kita semua tiada masalah untuk berinteraksi, bersahabat dan berkerjasama dengan mereka, malah ada yang menjadi sebahagian dari keluarga melalui perkahwinan.

Apa yang yang menjadi isu ialah kita tidak bersetuju dengan pejuangan dan idealogi Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Kini kerajaan memerintah dikuasai oleh gabungan parti politik yang tunggaknya ialah gagasan dari Pakatan Harapan (PH).

Di mana, dalam gagasan PH Parti yang dominan ialah DAP. Bukan niat untuk mencadangkan apa-apa yang boleh mengganggu ketenteraman dan keamanan.

Kerana, keamanan itu amat penting untuk kita meneruskan kehidupan harian, untuk bekerja dan anak-anak bersekolah. Cumanya disini saya ingin berkongsi pandangan dan pemikiran.

Kita imbau sejarah penubuhan DAP. Seperti yang semua tahu, DAP ialah tinggalan Parti Tindakan Rakyat (PAP), malah Devan Nair semasa mendaftar nama parti ini, beliau menggunakan nama Parti Tindakan Rakyat Malaysia, tetapi tidak diluluskan.

Kemudian beliau menukar nama kepada Parti Tindakan Demokratik, kita boleh lihat lambang parti DAP dan PAP hampir sama, PAP dengan bulatan biru dan petir merah di tengah sementara DAP dengan bulatan biru dan roket merah ditengah. Begitulah rapatnya hubungan mereka, umpama adik abang.

Dahulu perjuangan PAP ialah konsep “Malaysian Malaysia”, iaitu kesamarataan, yang juga menjadi asas perjuangan DAP kini. Mari kita lihat hasil kesamarataan di Singapura, di mana kedudukan Melayu Singapura?

Samaratakah kekayaan orang Melayu berbanding kaum lain, samaratakah pendidikan Melayu Singapura dan kaum lain? Samaratakah profesional Melayu Singapura dengan kaum lain?

Di Malaysia yang mereka katakan tidak samarata kerana ada ada kedudukan istimewa kepada rakyat asal Tanah Melayu yang sudah beribu tahun tinggal di Nusantara ini. Kaum mana yang kaya-raya?

Kaum mana yang mempunyai pendidikan yang bagus? Kaum mana yang menguasai bidang profesional? Ya, mereka bekerja keras, tetapi adakah sesiapa menghalang mereka meraih semua itu?

Perlembagaan ialah adalah peraturan tertinggi bagi sesebuah parti politik dan di dalamnya juga termaktub hala tuju perjuangan dan idelogi parti tersebut. Kita lihat perlembagaan DAP.

Fasal II, di bawah matlamat-matlamat; 1. Menubuhkan konsep demokrasi yang berlandaskan nilai demokrasi sosial di Malaysia menerusi perjuangan sistem Parlimen Berperlembagaan;

Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, kelihatan perjuangan DAP ialah menidakkan kedaulatan Raja-raja, malah tidak satu patah perkataan pun didalam Perlembagaan DAP menyebut tentang menghormati apakan lagi menjunjung kedaulatan Raja-raja.

Jauh sekalilah mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Matlamat 2. Mengesahkan lagi dan memulihkan perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia;

Matlamat 4. Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama dari diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi;

Adakah Perlembagaan Persekutuan kita tidak sah dan rosak, maka ia perlu disahkan dan dipulihkan?

Didalam matlamat ke 2. Ini jelas menunjukkan perjuangan DAP adalah menuju kearah negara sekular dan menidakkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Sementara Matlamat ke 4 pula menafikan peruntukan perlembagaan yang jelas menyatakan semua orang bebas untuk mengamalkan agama masing-masing dan mereka mempertikaikan undang-undang negara yang melindungi kesucian agama Islam, dengan merujuk undang-undang negara sebagai menindas dan mendiskriminasi.

DAP sekarang berada didalam kerajaan yang memerintah, dan mereka adalah kuasa yang dominan.

Sebagai orang Melayu, kita perlu ambil tahu semua ini dan berfikir. Sekali lagi saya tekankan, negara kita sebuah negara yang mempunyai undang-undang. Dan kita hidup dalam keadaan aman dan tenteram.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap rakyat diberi kuasa untuk memilih kerajaan yang memerintah dan tiada cara lain yang sebaik-baiknya melainkan melalui proses pilihan raya.

Maka sebagai orang Melayu yang menjunjung kedaulatan Raja-raja, menjaga kesucian agama Islam dan hendak mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera seperti yang sudah sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Buatlah pertimbangan yang sewajar-wajarnya apabila tiba peluang untuk memilih pemerintahan negara di masa akan datang nanti.

Azman Mohd Hashim – SEMANGAT MELAYU

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp