TERKINI

Tafsir al-Quran Sesuka Hati, Mempermain Kalam Allah, Pelakunya Boleh didakwa – Mufti Pulau Pinang

Wan Salim Wan Mohd Noor – malayadaily.com

GEORGE TOWN, 24 Sept 2023 – Tindakan mentafsir al-Quran sewenang-wenangnya ibarat mempermainkan kalam Allah dan ia tidak boleh diterima sama sekali.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan, pelaku yang bertindak sedemikian  juga boleh didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam.

“Al-Quran merupakan wahyu Allah terakhir dan muktamad diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW dalam Bahasa Arab yang merupakan satu bahasa kompleks di samping mengandung makna-makna luas dan rencam.

“Ia merupakan sebuah kitab hidayah Ilahi yang memandu manusia ke jalan benar serta membimbing mereka ke arah kebahagiaan  hidup di dunia dan akhirat.

“Khazanah ilmu pengetahuan yang tersimpan di dalam khazanah al-Quran adalah ibarat lautan yang tidak bertepi dan tidak pernah kering,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Wan Salim, tafsir pula adalah usaha menjelaskan maksud ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran.

Kata beliau, dari sudut tersebut pentafsir mestilah menguasai selok belok bahasa Arab daripada aspek nahu, saraf, balaghah dan ‘arudhnya serta mengetahui ‘asbab nuzul’ yakni konteks penurunan ssesuatu ayat agar tafsiran tidak menyimpang daripada maksud yang sebenarnya.

“Jadi, berdasarkan keterangan di atas, kita tidak dapat menerima mana-mana individu sama ada Muslim atau bukan Islam yang tidak memiliki kelayakan daripada sudut keilmuan untuk mentafsirkan kitab suci ini.

“Mentafsirkan al-Quran dengan sewenang-wenang seolah-olah mempermainkan kalam Allah yang tidak boleh diterima sama sekali dan  pelakunya boleh didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam,” katanya.

Media semalam melaporkan polis akan menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran menerusi video tular baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette

Facebook
Twitter
WhatsApp