TERKINI

Hari Malaysia : Kukuh Persaudaraan, Hayati Penubuhan Malaysia – Fadillah

KUALA LUMPUR, 16 Sept 2023 – Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof mengajak rakyat untuk sama-sama menghayati dan meraikan penubuhan Malaysia untuk menguatkan integrasi nasional yang sebenar antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Marilah kita bersama-sama menzahirkan penghayatan dan meraikan penubuhan Persekutuan Malaysia dengan penuh rasa bangga dan berjiwa bangsa.

“Atas semangat ini, Hari Malaysia mampu menguatkan integrasi nasional agar kita sedar erti Merdeka yang sebenar, iaitu bukan sekadar Tanah Melayu tetapi juga Sabah dan Sarawak.

“Ayuh semua kita kenangkan kembali jasa dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan tokoh-tokoh Sabah dan Sarawak yang telah menjayakan pembentukan Malaysia, katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fadillah turut mengajak rakyat mengenang jasa dan pengorbanan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan tokoh Sabah dan Sarawak yang menjayakan pembentukan Malaysia.

“Tautkan kembali ikatan persaudaraan dan keakraban kaum yang pelbagai di Malaysia. Hentikan sentimen 3R (raja, agama, dan kaum) yang hanya menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

“Kerjasama dan perpaduan perlu dibina bersama oleh semua kaum tanpa rasa curiga dan iri hati kerana perjalanan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran tidak boleh dilakukan secara bersendirian,” katanya menerusi perutusan Hari Malaysia di Facebooknya.

Beliau berkata, seluruh rakyat harus menghargai setiap perkara yang negara miliki melalui semangat kebersamaan kerana kekukuhan dan kemajuan dikecapi negara adalah hasil perjuangan bersama.

“Marilah kita semua menghayati makna Hari Malaysia supaya generasi akan datang dapat memiliki Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Hari ini, seluruh rakyat meraikan Hari Malaysia dengan sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, malam ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp