Baru-baru ini pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan biasiswa bagi pelajar dalam bidang perubatan.
Saya menentang dengan tegas isu ini kerana ia akan menyekat potensi anak muda yang bakal berbakti kepada negara kita nanti. Saya sendiri merupakan bekas pelajar tajaan JPA dalam bidang perubatan di University of Punjab, Pakistan.
Ramai rakan yang seangkatan dengan saya, kini dapat menabur bakti kepada rakyat.
Ini semua sangatlah digalakkan pada zaman Tun Dr. Mahathir dahulu. Siapa kata Tun tak buat apa-apa masa 22 tahun memerintah?
Tapi bila kerajaan PH memerintah, keadaan berubah. Perkara yang baik sepatutnya diteruskan bukannya dihentikan.
Ramai daripada golongan bumiputera sangat memerlukan bantuan untuk sambung belajar. Kos pengajian perubatan pula bukannya murah. Semua orang pun tahu, kos pengajian perubatan ialah antara yang paling mahal tak kira di mana sekalipun.
Jadi kalau kita hentikan bantuan dan penajaan, ramai anak muda terpaksa melupakan impian mereka untuk menjadi doktor kerana isu kewangan. Ini tidak sepatutnya berlaku. Kita sebagai negara yang nak maju perlu melabur kepada anak-anak muda ini.
Graduan doktor sangatlah berharga kerana negara kita perlukan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang perubatan ini. Sudahlah dengan isu doktor kontrak, sekarang menghentikan penajaan pula. Bila sakit, semua nak pergi luar negara untuk dapatkan rawatan.
Dunia semakin maju dari hari ke hari, kita juga perlu bergerak dinamik mengejar matlamat menjadi negara maju. Anak-anak muda kita ini sebenarnya ada banyak potensi pada diri mereka. Banyak pendedahan yang mereka dapat daripada alam maya hari ini.
Ada antara mereka yang mungkin jika diberi peluang akan satu hari nanti menemui ubat untuk penyakit kanser. Tetapi kalau dari awal mereka tidak diberi peluang untuk sambung belajar dalam bidang perubatan, macam mana nak capai?
Datuk Dr Abdul Halim Sher Jung
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com