TERKINI

Mahkamah Rayuan Tangguh Keputusan Berkait Larangan Buku ‘Gay Is OK!’

Grafik malayadaily.com

PUTRAJAYA, 19 Mei 2023 – Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya berhubung usaha kerajaan mengembalikan semula larangan ke atas buku “Gay is OK! A Christian Perspective”.

Hakim Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim berkata, mahkamah perlu masa untuk mempertimbangkan hujahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta peguam bagi penerbit Gerakbudaya Chong Ton Sin dan penulis Ngeo Boon Lin.

Hakim Gunalan Muniandy dan Wong Kian Kheong turut bersidang untuk mendengar rayuan itu.

Tahun lalu, Chong dan Ngeo menang dalam semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan larangan itu.

KDN pada 2020 mengharamkan buku itu bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atas alasan ia disifatkan sebagai penerbitan yang tidak diingini. Buku itu diterbitkan pada 2013.

Larangan itu dibatalkan selepas Mahkamah Tinggi mendapati kerajaan gagal menunjukkan bukti “prejudis sebenar terhadap ketenteraman awam yang telah berlaku”.

Hakim Noorin Badaruddin berpendapat buku itu “tidak mungkin menjejaskan ketenteraman awam”.

Beliau berkata, kerajaan gagal memberikan Chong dan Ngeo hak untuk didengari bagi menentang dakwaan yang dibuat terhadap mereka.

Terdahulu hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Alwi, yang hadir bersama Peguam Persekutuan Sallehuddin Md Ali bagi pihak KDN, menggesa Mahkamah Rayuan mengembalikan semula larangan itu.

Beliau berkata, buku itu mempromosikan homoseksual dan bercanggah dengan kepercayaan budaya dalam negara.

Katanya, pada Februari 2020, pegawai KDN membuat semakan rambang di kedai buku Gerakbudaya dan mendapati buku itu dipamerkan. Mereka membawa buku itu ke pejabat untuk menyemak kandungannya.

Selepas pemeriksaan, menteri dalam negeri ketika itu Hamzah Zainudin berkata, beliau berpuas hati bahawa kandungan buku itu “kemungkinan memudaratkan moral”.

Sementara itu, peguam Chong dan Ngeo, Edmund Bon, memberitahu mahkamah keputusan Mahkamah Tinggi perlu dikekalkan.

Beliau berkata, buku itu memberikan pandangan “alternatif” daripada perspektif Kristian sama ada homoseksualiti harus ditentang.

Bon memberitahu mahkamah bahawa Hamzah membuat penilaian subjektif terhadap buku itu tanpa membacanya dalam konteks penuh. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp