TERKINI

Hari Pekerja : MTUC Cadang Kerajaan Panjangkan Akta Kerja Ke Sabah Dan Sarawak

Foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 1 Mei 2023 – Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani melihat keperluan agar Akta Kerja dikuatkuasakan secara menyeluruh termasuk Sabah dan Sarawak.

Ketika muncul dalam program Fokus Minggu Depan, beliau berkata akta ini akta ini tidak melindungi pekerja Sabah dan Sarawak sebaliknya kedua-dua negeri itu menggunakan Ordinan Buruh yang memainkan peranan dalam mengenal pasti hak-hak pekerja.

“Saya harap supaya kerajaan memanjangkan Akta Kerja ke Sabah dan Sarawak. Ini kerana akta ini merangkumi semua pekerja tetapi tidak melindungi pekerja di Sabah dan Sarawak jadi saya rasa kerajaan boleh lihat bagaimana akta ini boleh dikuatkuasakan sepenuhnya,” ujarnya.

“Masalah sekarang ialah ramai pekerja tidak tahu, mungkin juga kurang kesedaran tentang hak mereka.

“Dengan adanya sambutan Hari Pekerja, ini memberi ruang pekerja imbas balik peranan mereka serta memberi platform bukan saja nak meraikan tetapi menghayati apakah itu Hari Pekerja.

“Dalam masa yang sama, Hari Pekerja akan membawa perhatian mereka terhadap isu-isu berkaitan pekerja, mereka tahu mereka ada platform.

Beliau juga mengingatkan bahawa kesepakatan antara majikan dan pekerja penting bagi meningkatkan ekonomi dan Hari Pekerja akan menzahirkan keperluan bagaimana golongan pekerja boleh terus dibantu.

Kerajaan mengangkat tema ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’ sempena sambutan Hari Pekerja 2023 pada 1 Mei ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp