TERKINI

Dividen RM40 Bilion Akan Dibayar Kepada Kerajaan Tahun Ini – Petronas

Gambar hiasan – Foto NST

KUALA LUMPUR, 1 September 2023 – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membayar dividen berjumlah RM40 bilion kepada kerajaan tahun ini iaitu RM5 bilion lebih berbanding RM35 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Liza Mustapha berkata pembayaran dividen itu dibuat berdasarkan kepada kemampuan Petronas.

“Ia adalah unjuran jangka panjang dalam perbincangan yang kami ada dengan pemegang saham kami. Kami mengambil pandangan yang agak jauh (dalam) perbincangan kami, bukan setakat untuk 12 bulan akan datang tetapi katakanlah, sehingga ke 2030.

“(Mengenai persoalan) sama ada apa yang kami belanjakan untuk perniagaan baharu akan menjejaskan dividen, sebenarnya saya ingin katakan sebaliknya, kami mengatur (pendekatan) daripada atas ke bawah dalam peruntukan modal.

“Kami akan mengetepikan secara purata 20 peratus daripada perbelanjaan modal (capex) untuk perniagaan dan pelaburan baharu bagi mendapatkan tenaga baharu,” katanya kepada pemberita pada pengumuman prestasi kewangan separuh pertama 2023 Petronas. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp