TERKINI

Hilang Dusun Tua, DAP Dijanji Speaker DUN dan Pengerusi GLC

Gambar hiasan – malayadaily.com

KUALA LUMPU, 24 Julai 2023 – DAP meletakkan syarat parti itu diberikan jawatan Speaker DUN Selangor dan pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang sekiranya kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan, selepas hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, parti itu bagaimanapun akur dengan keputusan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerusi itu diserahkan kepada calon BN.

“Sebelum ini Adun Sekinchan merupakan Speaker DUN Selangor.

“Apabila kita menyerahkan atau diminta menyerahkan Dusun Tua, syarat yang telah kita nyatakan ialah supaya kita mencadangkan seorang bukan Adun untuk menggantikan Speaker DUN Selangor dan cadangan kita ialah saudara Law Weng San,” kata Loke, dalam sidang media pengumuman calon di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, hari ini.

Loke berkata, DAP mencadangkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banting, Law Weng San dilantik sebagai speaker, manakala Ean Yong Hian Wah, bekas Adun Seri Kembangan akan dilantik sebagai pengerusi lembaga Pelabuhan Klang.

Menteri Pengangkutan itu berkata, DAP juga mempertaruhkan 15 calon di Selangor untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos depan.

Lapan daripadanya adalah muka baharu manakala bakinya terdiri daripada muka lama.

Dusun Tua adalah kawasan majoriti Melayu yang dimenangi DAP dengan meletakkan calon Melayu, Edry Faizal Eddy Yusof pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dengan majoriti sebanyak 10,422 undi.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu mengumumkan parti itu hanya akan bertanding di 12 kerusi DUN Selangor pada PRN akan datang.

Untuk calon DUN Dusun Tua, BN mempertaruhkan Datuk Johan Abd Aziz manakala DUN Gombak Setia pula, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Gombak Setia juga merupakan kerusi PH yang dimenangi PKR dengan calon Hilman Idham, sebelum beliau menyertai Bersatu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp