TERKINI

Henti Desak Sivakumar Bercuti – G Manivannan

Gambar hiasan – foto warta rakyat

KUALA LUMPUR, 25 April 2023 – Semua pihak perlu berhenti mendesak Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, bercuti hanya kerana pegawai kanannya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Gesaan itu dibuat Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, G Manivannan, yang melihat desakan terbabit hanya mengeruhkan keadaan, sedangkan SPRM belum membuat pertuduhan kepada mana-mana pihak berhubung siasatan berkenaan.

Katanya, perlu difahami sehingga hari ini tiada sebarang pertuduhan dibuat ke atas menteri dan pegawai kanannya.

“Saya rasa kenyataan rasmi Perdana Menteri berhubung siasatan kes berkenaan sudah jelas dan mengapa kita bertindak ‘melatah’ dalam isu ini.

“Desakan bercuti ini hanya akan menimbulkan spekulasi yang akan menjejaskan Kabinet, sedangkan kes ini masih pramatang,” katanya kepada BH.

Semalam, Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim, menggesa Sivakumar bercuti dari tugasnya sebagai menteri sehingga SPRM selesai menjalankan penyiasatan terhadap membabitkan pegawai kanannya.

Hassan berkata, tindakan itu menunjukkan teladan positif selaras dengan agenda Pakatan Harapan (PH) untuk membasmi rasuah.

“Yang Berhormat Menteri tentu lebih faham mengenai prinsip ‘tanggungjawab kolektif’ dan ‘tanggungjawab menteri’ dalam fungsi kerja Jemaah Menteri atau kabinet Kerajaan Persekutuan.

“Jangan tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti ataupun meletakkan jawatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Manivannan berkata, sehingga kini tiada maklumat lanjut berhubung kes membabitkan dua pegawai kanan menteri itu.

Katanya, jangan mana-mana pihak membuat spekulasi hanya dengan tindakan SPRM memanggil mana-mana pihak termasuk menteri memberi kenyataan.

“Kita tidak boleh membuat spekulasi mereka yang dipanggil itu sebagai bersalah, mungkin mereka memberi kenyataan sebagai saksi.

“Jangan kita menghukum dan cuba mendahului SPRM. Kita kena percaya dan beri ruang kepada SPRM menyiasat secara menyeluruh,” katanya.

Manivannan menegaskan, isu rasuah adalah jenayah bukan bahan politik, justeru beri ruang untuk SPRM menjalankan kerjanya dan mana-mana pihak berhenti mempolitikkan isu itu.

“Sebenarnya ada banyak kes disiasat SPRM yang hampir sama kes ini selepas mereka menerima laporan tetapi kes ini menjadi viral kerana membabitkan menteri.

“Saya percaya SPRM sangat profesional dan desakan bercuti hanya kerana menteri ahli Kabinet tidak wajar kerana beliau bukan menteri yang berkait dengan SPRM

“Jika Sivakumar itu Menteri Dalam Negeri atau Menteri di Jabatan Menteri mungkin sesuai desakan bercuti itu tetapi beliau hanya Menteri Sumber Manusia dan hanya pegawainya disiasat bukan dirinya,” katanya.

Beliau meminta semua pihak sama ada rakan dalam Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang melihat kes itu secara rasional dan percaya dengan tindakan di ambil SPRM.

“Saya mohon jangan kita cuba melebihi bidang kuasa SPRM, biar mereka membuat kenyataan rasmi dan menyiasat.

“Saya menghormati pandangan mana-mana pihak, namun jangan kita membuat kenyataan yang mengundang spekulasi yang berlebihan,” katanya. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp