TERKINI

Henti kecaman pengampunan Najib, Sumbangan kepada negara antara asas ‘diskaun’ hukuman – Anwar

Najib Tun Razak (kiri), Anwar Ibrahim (kanan) – foto Kosmo Digital

PUTRAJAYA, 5 Feb 2024 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya semua kritikan dan kecaman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dihentikan.

Memetik laporan Bernama, Anwar menggesa agar keputusan itu dihormati kerana ia bukan sahaja dibuat berlandaskan undang-undang, malah atas belas ihsan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

“Pertimbangan utamanya adalah soal ihsan, belas kasihan atau apa yang disebut oleh bekas Yang di- Pertuan Agong itu sebagai mercu keihsanan atau ‘fountain of mercy’.

“Sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk memberikan penjelasan atau tidak, itu wawenang (hak) Tuanku,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’Seri Endon, Puspanitapuri hari ini.

Anwar menjelaskan demikian berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikan pengurangan 50 peratus bagi tempoh hukuman penjara dan denda yang perlu dibayar oleh Najib.

Berita Harian pula memetik Anwar sebagai berkata bahawa asas Lembaga Pengampunan memutuskan memberi pengurangan hukuman kepada Datuk Seri Najib Razak, antaranya dibuat atas sumbangan bekas Perdana Menteri itu kepada negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu diambil kira dalam perbincangan mesyuarat Lembaga Pengampunan, termasuk kaedah lain yang diperincikan.

“Pertama apa asas rayuan, selalunya memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, peranan kepada keluarga dia, kehidupan di penjara, jasa dan khidmat dia, peranan kepada keluarga atau masyarakat dan dalam kes Najib, kepada negara.

“Jadi diberikan juga mengenai proses badan kehakiman, apa kesnya, apa hukumannya, kemudian kalau ada kes dalam proses, itu semua dijelaskan sebelum masing-masing (ahli lembaga) beri pandangan dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” katanya.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan Najib mendapat pengurangan tempoh hukuman 50 peratus selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – Bernama/Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp