TERKINI

Hospital Awam Makin Sesak, Caj Hospital Swasta Melampau – Pejuang Johor

JOHOR BAHRU, 6 Jan 2026 — Pejuang Johor mendakwa Malaysia sedang berdepan krisis kesihatan yang semakin meruncing apabila hospital awam kian sesak, manakala caj rawatan hospital swasta pula terus meningkat ke tahap membebankan rakyat.

Timbalan Ketua Negeri Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, perbelanjaan kesihatan negara mencecah RM45.3 bilion pada tahun 2025, meningkat 10 peratus berbanding tahun sebelumnya, namun inflasi perubatan kekal tinggi sekitar 15 peratus setahun. Keadaan ini menyebabkan premium insurans melonjak antara 40 hingga 70 peratus, sekali gus menekan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Menurut beliau, situasi itu berlaku ketika syarikat insurans dan hospital swasta terus merekodkan keuntungan besar. Beberapa syarikat insurans utama mencatat ratusan juta ringgit keuntungan, manakala kumpulan hospital swasta pula merekodkan hasil dan keuntungan yang kukuh sepanjang 2025.

“Sebaliknya, hospital awam semakin sesak, berdepan kekurangan kakitangan serta masa menunggu yang panjang. Lebih membimbangkan, lebih separuh ahli KWSP mempunyai simpanan Akaun 2 yang rendah, menjadikan ia tidak realistik untuk menampung kos rawatan swasta yang semakin mahal,” katanya dalam satu kenyataan media.

Zainuddin turut memetik tindakan Generali Life Insurance Malaysia yang mengeluarkan beberapa hospital swasta daripada senarai panel akibat kos rawatan terlalu tinggi, sebagai bukti kegagalan sistem sedia ada mengawal caj hospital swasta. Menurutnya, pertikaian antara hospital dan syarikat insurans akhirnya meletakkan pesakit sebagai mangsa.

Sehubungan itu, Pejuang Johor mencadangkan supaya National Health Insurance Trust (NHIT) diperkasakan sebagai badan pusat perlindungan kesihatan negara bagi mengawal caj rawatan, menjamin premium mampu dibayar dan memastikan liputan kesihatan asas kepada rakyat. Model itu, katanya, boleh mencontohi sistem perlindungan kesihatan di Indonesia dan Thailand, dengan Perkeso dijadikan platform asas pelaksanaan.

“Kesihatan adalah hak asas rakyat, bukan kemewahan. Tanpa pembaharuan menyeluruh, rakyat akan terus terperangkap dalam tekanan kos rawatan yang tinggi,” katanya, sambil menggesa kerajaan dan pembangkang memberi keutamaan kepada penyelesaian dasar berbanding retorik politik. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp