TERKINI

Ibukota Nusantara: Delegasi Indonesia rujuk Mahathir

Mahathir Mohamad (tengah) bersama delegasi Ibukota Nusantara Indonesia – foto Pejabat TDM

PUTRAJAYA, 10 Mei 24 – Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat oleh kumpulan delegasi yang di ketuai oleh Dr Robby Kurniawan, Ketua Pengarah Kementerian Perhubungan Republik Indonesia bagi mendapatkan nasihat serta rujukan mengenai Ibukota Nusantara, di pejabatnya, Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dalam entrinya di laman X, Mahathir memberitahu bahawa kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk mendapatkan nasihat, pandangan dan perkongsian pengalaman beliau mengenai pembangunan Putrajaya.

“Putrajaya antara kota yang dijadikan model rujukan kepada pembinaan Ibu Kota Nusantara di Kalimantan Timur seperti diumumkan oleh Presiden Republik Indonesia pada 2019. Katanya.

Menurut Mahathir, beliau menjelaskan kepada delegasi tersebut bahawa sebenarnya ibu kota negara Malaysia tidak pernah dipindah dan ianya masih kekal di Kuala Lumpur.

“Yang dimaksudkan dengan pembangunan Putrajaya ialah membangunkan sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Malaysia, di mana objektif asal untuk mengalih dan menempatkan kementerian Kerajaan di dalam satu kawasan. Ujarnya.

Dalam pertemuan tersebut, Mahathir yang juga mantan Perdana Menteri sebanyak dua kali menjelaskan sejarah penubuhan Putrajaya di mana pada asalnya kawasan yang menjadi pilihan pembinaan pusat pentadbiran kerajaan ialah Janda Baik di negeri Pahang.

“Namun disebabkan beberapa faktor kesesuaian, ia tidak dipilih. Dr Mahathir turut menekankan, pemilihan lokasi menjadi salah satu faktor utama dalam pembinaan bandar.

“Putrajaya yang dahulunya dikenali sebagai estet Prang Besar dipilih kerana kedudukannya yang terletak di antara Kuala Lumpur dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mahathir turut berkongsi idea disebalik kewujudan jalan Boulevard yang terinspirasi dari Champs Elysees, Paris.

“Di sepanjang kiri dan kanan boulevard ini terdapat bangunan-bangunan kementerian.

“Sebelum ini jika di Kuala Lumpur, kedudukan kementerian berselerak dan tidak teratur, jadi apabila Putrajaya dibina, bangunan Kementerian disusun di sepanjang kiri dan kanan boulevard sekaligus menyelesaikan isu komunikasi dan perhubungan kakitangan Kerajaan. Tambah beliau.

Selain itu, Dr Mahathir berkata apabila sesuatu pusat pentadbiran dibina, Kerajaan perlu juga ambil kira penglibatan sektor swasta kerana setiap pembangunan baharu, ia boleh menarik minat para pelabur untuk terlibat sama.

“Cyberjaya umpamanya, dibina bersebelahan Putrajaya. Antara tujuannya ialah mendekatkan para pelabur membuka industri dan operasi mereka yang berdekatan dengan pusat pentadbiran Kerajaan.

“Melalui ini, pihak pelabur akan lebih tertarik atas faktor kemudahan, akses dan infrastruktur yang disediakan.

“Hingga kini, jika diperhatikan di kiri dan kanan jalan sepanjang Kuala Lumpur ke KLIA dapat dilihat banyak bandar baru dan industri dibina, hasil limpahan dari pemindahan pusat pentadbiran Kerajaan ke kawasan baru.

Di akhir pertemuan, Dr Mahathir mengingatkan dalam pembinaan kota raya baru, selain meniru apa yang telah dibuat di negara lain, mereka juga perlu mempelajari kesilapan yang boleh ditambahbaik dan tidak diulangi semasa membina ibu kota baru di negara mereka kelak. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp