TERKINI

Ideologi DAP Tersasar Daripada Asas Penubuhan Negara – Bekas Menteri

Mohd Zin Mohamed (gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 11 Sept 2023 – Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu Selangor, Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed mendakwa ideologi sekular DAP adalah bertentangan dengan Perkara 3(1) Islam adalah agama bagi Persekutuan dan prinsip kedaulatan raja Melayu yang dipertahankan oleh Perkara 181(1).

Menurut Mohd Zin, beliau tidak bermusuh dengan orang Cina, sebaliknya beliau melawan DAP kerana ideologi sekular yang bermaksud memisahkan agama dan pemerintahan.

“Saya melawan DAP atas ideologinya yang tersasar daripada asas penubuhan negara.

“Ideologi sekular yang didukung oleh DAP adalah bertentangan dengan Perkara 3(1) Islam adalah agama bagi Persekutuan dan prinsip kedaulatan raja Melayu yang dipertahankan oleh Perkara 181(1).

“Sekular bermaksud memisahkan agama dan pemerintahan, suatu dasar yang bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan. Ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut menyusul selepas kehadiran buat pertama kalinya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke konvensyen DAP di Putrajaya, pada Ahad.

Mohd Zin yang juga bekas menteri Kerja Raya, berharap Presiden dan ahli UMNO insaf akan tanggungjawab melawan perjuangan sekular yang didukung DAP.

“Saya berdoa dan berharap Zahid Hamidi dan rakan-rakan dalam UMNO insaf tentang tanggungjawab untuk melawan perjuangan sekularisme yang didukung oleh DAP ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp