TERKINI

Ilmu wajib diberikan tumpuan jika keagungan Islam mahu dijulang – Sultan Perak

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kanan) – foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 12 Jan 2024 – Usaha untuk memperkaya generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan jika keagungan Islam mahu dijulang dan martabat bangsa mahu didarjat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah jurang besar yang dihadapi masyarakat Islam ketika ini ialah penganut yang besar daripada segi angka, berbanding penganut yang benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan Islam.

“Tahap penguasaan ilmu akan menentukan tahap pengertian, fahaman dan penguasaan sesuatu bidang kehidupan, yang menjadi komponen membentuk nilai keperibadian insan dan mengangkat taraf kehidupan masyarakat serta menjulang kemuliaan sesuatu bangsa dan negara.

“Ilmu berperanan sebagai perisai paling kukuh untuk melindungi manusia daripada tergelincir akidah kerana terpengaruh dengan tafsiran ulama samaran atau terpesong fahaman kerana ungkapan kata-kata pemimpin palsu yang bertopengkan agama,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAJLIS), dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, Islam akan lebih dihormati dan terus dimuliakan jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihat prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram serta nama yang lompong tanpa pengisian yang bermakna.

“Ummah bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisi Islam dengan kandungan yang meyakinkan.

“Kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung pada tahap kejayaan ummah. Justeru, usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus,” titah baginda.

Bagi mencapai hasrat itu, Sultan Nazrin bertitah, persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik perlu diselaraskan dan digabungkan, justeru MAJLIS bersama institusi Orang Besar Jajahan, Jabatan Agama Islam, Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Yayasan Perak, Majlis Belia Negeri serta Jawatankuasa Masjid perlu digabungkan.

Ini bagi mewujudkan rangkaian kerja strategik, titah baginda, mengoptimum dan menyelaras sumber serta tenaga, merintis usaha, memperkenal dan melaksanakan program yang lebih inovatif dan kreatif, bersasar dan berfokus, sesuai dengan cabaran serta keperluan semasa.

Pada masa sama, Sultan Nazrin turut menzahirkan hasrat baginda supaya MAJLIS bukan hanya berperanan menasihati sultan mengenai semua perkara berhubung agama Islam di Perak, malah menjadi badan bertindak dan kumpulan kerja yang aktif, menggerakkan program untuk meningkatkan syiar Islam, memakmurkan pelbagai institusi Islam terutama masjid, memajukan pemikiran dan memperkaya modal sosial serta budaya ummah melalui pelbagai aktiviti, selain inovasi yang berupaya menarik lebih ramai golongan remaja mengimarahkan masjid.

“MAJLIS tidak seharusnya membatasi peranan sebagai badan dengan imej yang berorientasikan isu tetapi hendaklah menjadi sebuah badan bertindak yang berupaya menghijrahkan pemikiran dan budaya ummah menjadi lebih dinamik dan progresif.

“Mengikuti isu utama semasa, begitu juga bacaan terhadap cabaran yang sedang dihadapi, juga memahami sumber kewangan dan sumber manusia yang terhad, beta berpendirian penting untuk MAJLIS mewujudkan rangkaian strategik supaya berupaya berperanan lebih bermakna, dalam hasrat dan usaha, memenuhi tugas fardu kifayah untuk memajukan ummah dan meningkatkan syiar Islam,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menitahkan supaya Yang Dipertua dan anggota MAJLIS yang baru dilantik bagi sesi 2024-2025 serta hakim Mahkamah Syariah yang dikurniakan watikah lantikan hari ini, menjujung amanah yang diberikan dan menyempurnakan tanggungjawab sebaik-baiknya. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp