KUALA LUMPUR, 27 Okt 2023 – Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi lantang menyuarakan kekecewaan negara itu terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang masih gagal mencapai keputusan tatkala angka korban di Gaza terus meningkat.
“Gunakan hati anda untuk keadilan dan kemanusiaan.
“Dunia bagaikan berpecah dalam realiti yang berbeza, seperti ada penafian dalam melihat malapetaka di Gaza.
“Hakikatnya, serangan dan pembunuhan terus berlaku…”, kata Retno Marsudi
Ketika menyampaikan kenyataan di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York sempena sesi khas tergempar Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-10 pada Khamis, beliau berkata PBB seharusnya menekankan soal kemanusiaan yang menjadi asas penubuhannya.
Ujarnya, Indonesia kekal tegas mempertahankan nasib rakyat Palestin yang terus ditindas keganasan Israel.
“Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel terhadap rakyat Palestin, terhadap hospital dan rumah-rumah ibadat di Gaza.
“Pembunuhan, penculikan dan penghukuman yang terus berlaku harus dikutuk kerana ia tidak berperikemanusiaan dan sama sekali bercanggah dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Tambah Retno lagi, anggota PBB seharusnya benar-benar membuktikan mereka berpegang kepada prinsip maruah dan perikemanusiaan bila-bila masa.
Dalam pada itu, Indonesia tampil menyuarakan tiga resolusi kepada ahli majlis dalam menghentikan isu sejagat ini.
“Pertama, hentikan keganasan untuk mengelakkan lebih ramai orang awam kematian berlaku.
“Pihak majlis harus menuntut genjatan senjata dalam kadar segera…
“Antara lain, majlis juga seharusnya mencari pihak yang bertanggungjawab termasuk menubuhkan jawatankuasa tunggal komisen inquiri untuk menyiasat situasi kemanusiaan ini,” katanya dalam ucapan sama.
Antara penyelesaian konkrit yang turut diutarakan oleh Indonesia termasuk mengutamakan bantuan kemanusiaan dan meminta agar PBB tidak terjerumus dalam politik sebaliknya menekankan matlamat sebenar penubuhannya.
Dalam pada itu, Retno memberitahu bahawa Indonesia akan melipatgandakan anggota sukarelawan bagi membantu misi kemanusiaan di bawah agensi PBB.
Sesi khas ini diadakan selepas UNSC minggu lalu gagal menerima pakai resolusi yang meminta koridor kemanusiaan dalam konflik itu.
Minggu lalu, UNSC yang tidak sependapat mengenai isu Israel-Palestin, menolak draf resolusi Rusia yang menggesa ‘pemberhentian konflik atas dasar kemanusiaan.
Hanya lima daripada 15 negara anggota menyokong resolusi itu, yang mengutuk semua keganasan terhadap orang awam dan semua tindakan pengganas tanpa menamakan Hamas.
Gesaan untuk mengadakan sidang tergempar itu dibuat selepas Duta PBB Jordan, Mahmoud Hmoud dan Duta PBB Mauritania, Sidi Mohamed Laghdaf menghantar surat di bawah kapasiti anggota kumpulan Liga Arab dan Organisasi Kerjasama Islam.
Surat gesaan sama turut diterima dari perwakilan Malaysia bersama Indonesia, Laos, Vietnam, Brunei, Kemboja serta Rusia. – Awani