TERKINI

Ini Bukan Kerajaan Perpaduan, kata Mahathir

Mahathir Mohamad (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 5 April 25 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan yang mendakwa mereka sebagai kerajaan perpaduan, bukanlah kerajaan perpaduan sebaliknya ia hanya sebuah kerajaan yang terdiri dari kalangan mereka yang menyokong Perdana Menteri.

Mahathir mengulas perkara ini dalam entrinya semalam berkata, pihak yang tidak menyokong PM tidak diterima dalam kerajaan.

“Pihak terdiri daripada Ahli Parlimen yang tidak menyokong Perdana Menteri tidak diterima dalam kerajaan.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan (hari ini) adalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mahathir dalam entrinya menjelaskan, Kerajaan Perpaduan yang sebenar adalah seperti yang terbentuk di United Kingdom ketika Perang Dunia Kedua (WWII) semasa negara itu dipimpin oleh Perdana Menteri, Winston Churchill antara tahun  1940 hingga 1945.

Menurutnya ketika itu, Churchill mengambil alih pentadbiran daripada Neville Chamberlain yang mentabir semasa perang dunia itu bermula sehingga meletakkan jawatan pada 1940.

“Kerajaan (UK) pada ketika itu adalah gabungan terdiri daripada parti politik berbeza termasuk dalam kalangan pembangkang.

“Ketika itu, mereka tumpu kepada strategi dan kepimpinan semasa peperangan.

“Ia merupakan Kerajaan Perpaduan. Semua parti (terlibat). Parti Konservatif yang dipimpin Winston Churchill, parti Labour diketuai Clement Attlee dan parti Liberal dikemudi oleh Archibald Sinclair yang berada dalam Kabinet,” ujarnya.

Tambahnya, Clement Attlee berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala Archibald Sinclair memegang jawatan Setiausaha Negara untuk udara.

Katanya, semua keputusan Kabinet dibuat oleh semua pihak parti politik dalam kerajaan.

“Tidak perlu untuk parti-parti politik itu setia kepada parti Konservatif atau Perdana Menteri. Kesetiaan mereka adalah kepada negara.

“Kerajaan Perpaduan Malaysia perlu menyokong Perdana Menteri. Kritikan terhadap Perdana Menteri mungkin akan menyebabkan tindakan diambil,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp