
KUALA LUMPUR, 30 Mac 25 – Parti Putra mendesak Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif meletak jawatan ekoran kelemahan kepimpinan mereka dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan.
Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif berkata, tindakan tersebut perlu demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan integriti wilayah.
“PUTRA mendesak agar Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar DBKL segera meletakkan jawatan.
“Tindakan ini adalah perlu demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan integriti pentadbiran Wilayah Persekutuan. Ujarnya.
Menurut Shahrulufti, insiden ‘Abang Belon’ yang berlaku baru-baru ini mencerminkan kelemahan pengurusan pihak berkuasa yang serius.
“Insiden yang melibatkan individu yang dikenali sebagai “Abang Belon” telah mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat.
“Kejadian ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan dalam pengurusan pihak berkuasa, tetapi juga menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan dan ketelusan dalam pentadbiran DBKL. Tambah beliau.
Jumaat lalu, tular rakaman video memaparkan kejadian perselisihan faham dan pergelutan antara penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penjual barangan tanpa lesen.
Menerusi video yang tular, kekecohan mula berlaku selepas penguatkuasa DBKL mengambil tindakan merampas barang jualan daripada beberapa individu yang dikatakan berniaga tanpa lesen, termasuk penjual belon berkenaan.
Dalam insiden tersebut, penjual terbabit dikatakan enggan menyerahkan belon yang dibawanya sehingga mencetuskan pergelutan dengan kumpulan penguatkuasa DBKL.
Beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang turut menzahirkan kekecewaan berkaitan insiden tersebut. – malayadaily.com