TERKINI

Isham Jalil dakwa diugut agar ‘tone down’ atau didakwa

Isham Jalil – foto Berita Harian

PUTRAJAYA, 6 Julai 24 – Mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil memberitahu bahawa beliau diugut sekiranya beliau tidak ‘tone down’ atau diam, dakwaan ke atasnya akan diteruskan oleh Peguam Negara.

Dalam status facebook hari ini, beliau berkata, ugutan tersebut datang menerusi telefon yang diterimanya ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap, kelmarin.

“Dan malam kelmarin sedang saya berkempen di Sungai Bakap, saya telah terima satu panggilan telefon ugutan (saksi ada di sebelah saya) bahawa jika saya tidak “tone down” atau diam maka tuduhan kes contempt ke atas saya akan diteruskan oleh Peguam Negara.

“Saya kata pada pengugut itu tidak mengapa, sila teruskan saya tidak akan diam dan saya akan lawan. Ujarnya.

Menurutnya lagi, beliau telah dimaklumkan oleh peguam, Tan Sri Azhar Azizan bahawa Peguam Negara Ahmad Terrirudin telah menukar fikiran dan akan terus mendakwa beliau atas tuduhan contempt of court atau menghina mahkamah dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Hari ini saya dimaklumkan bahawa Peguam Negara akan teruskan tuduhan kepada saya dan mahu saya bayar denda atau dipenjara.

“Jika saya bayar denda maksudnya saya mengaku salah dan berkemungkinan tidak boleh bertanding pilihanraya. Katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Isham mempersoalkan tindakan Peguam Negara yang sebelum ini menawarkan untuk menarik balik tuduhan ke atasnya asalkan beliau memohon maaf kepada mahkamah, namun hari ini Peguam Negara mahu mendakwanya kembali.

“Sebelum ini pada dua bulan lepas Peguam Negara telah memaklumkan kepada peguam saya bahawa mereka menawarkan untuk menarik balik tuduhan ke atas saya asalkan saya memohon maaf kepada mahkamah.

“Untuk mengurangkan kos guaman, saya telah bersetuju dengan tawaran Peguam Negara tersebut dan telah mengemukakan representasi memohon maaf kepada mahkamah.

“Namun hari ini Peguam Negara kata mereka mahu terus dakwa saya. Dulu mereka mulakan pendakwaan terhadap saya, selepas itu mereka tawarkan penarikan tuduhan jika saya mohon maaf, bila saya setuju untuk mohon maaf seperti yang mereka cadang, hari ini mereka kata mereka mahu terus dakwa pula.

“Saya tidak tahu permainan apa yang mereka mainkan ini. Mahkamah tidak boleh dijadikan tempat untuk permainan politik kerajaan. Katanya.

Sebelum ini, Isham didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes kes 1MDB.

Lanjutan itu, Peguam Negara memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham Jalil kerana dikatakan menghina mahkamah.

Namun pada April, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Ahmad Akram Gharib semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin memberitahu pihak responden (Isham) telah mengemukakan representasi berkenaan kepada Peguam Negara pada 25 Mac lepas melalui e-mel. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp