KUALA LUMPUR, 18 Jan 25 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan persoalan mengapa loji penapisan air tidak dibina sungguhpun peruntukan tersebut telah diluluskan kepada kerajaan Johor sebelum beliau bersara pada 2003.
Dalam entrinya semalam, Mahathir menjelaskan bahawa antara jalan untuk menghentikan pembelian air bersih dari Singapura adalah dengan membina sendiri loji penapis air, namun sehingga kini projek tersebut tidak dilaksanakan.
“Sebelum saya letak jawatan pada 2003, peruntukan telah diberi kepada Johor untuk mendiri loji tapis air supaya Johor tidak perlu beli air dari Singapura.
“Jika ini dibangun soal kenaikan harga air tapis dari Singapura tidak timbul.
“Saya tidak tahu kenapa loji ini tidak didiri. Selepas saya letak jawatan projek jambatan bengkok dan landasan kembar keretapi juga digugur.
Mahathir dalam entrinya turut menjelaskan bahawa isu ancaman Singapura yang mahu menaikkan harga air yang telah ditapis bukan masalah sekiranya kita membina loji penapis air sendiri.
“Tidak ada sebab kenapa loji tapis ini tidak boleh didirikan sekarang.
“Ancaman Singapura menaikkan harga air tapis bukan masalah.
Tambah Mahathir, kerajaan belum lagi menangani masalah tersebut termasuk isu berkaitan ruang udara, jambatan bengkok dan Central Provident Fund Singapura..
“Tetapi hakikatnya Kerajaan sekarang tidak lagi cuba tangani beberapa masalah yang ada dengan Singapura termasuk masalah ruang udara Malaysia, jabatan bengkok dan Central Provident Fund Singapura.
“Sebaliknya perjanjian baru dibuat yang lebih menguntungkan Singapura.
Sebelum ini, Mahathir dalam kenyataannya mendakwa kerajaan Malaysia seolah memberi subsidi kepada Singapura dalam isu penjualan air ke negara tersebut.
Menurutnya, Singapura memperolehi pendapatan tahunan sebanyak RM3,312,375,000 manakala Malaysia tidak memperoleh keuntungan jualan air mentah kepada negara tersebut.
Terdahulu, pada Dis tahun lalu, Kerajaan memutuskan untuk kekal dengan perjanjian sedia ada yang termaktub dalam Perjanjian Air 1962 dan sebarang perubahan terhadap kadar jualan air mentah kepada Singapura, perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat dari negara itu, yang menjadi keperluan kritikal bagi negeri Johor.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata walaupun harga yang ditetapkan untuk penjualan air mentah kepada Singapura adalah rendah, iaitu pada kadar tiga sen setiap 1,000 gelen, namun dari segi impak ekonomi ia sebenarnya memberi timbal balik kepada negara. – malayadaily.com