TERKINI

UMNO Tak Boleh Fail Permohonan Pengampunan Najib – Peguam

Haniff Khatri – foto malaysiapost

KUALA LUMPUR, 10 April 2023 – UMNO tidak boleh memfailkan permohonan pengampunan bagi pihak Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata Peraturan 113, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, memperuntukkan bahawa petisyen pengampunan itu hanya boleh dilakukan oleh Najib, ahli keluarga atau peguam yang dilantik oleh bekas Perdana Menteri itu dan Jabatan Penjara.

Bagaimanapun, katanya, UMNO boleh memfailkan surat, petisyen atau kenyataan sokongan ditandatangani ahli-ahlinya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong permohonan Najib.

“Begitu juga orang ramai yang ingin membantah permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan dengan petisyen maya yang ada, individu yang menaja itu boleh memajukan bantahan berkenaan kepada permohonan.

“Tiada isu untuk berbuat demikian, tetapi mereka dengan sendirinya tidak boleh membuat permohonan, sebaliknya memajukan sokongan terhadap permohonan Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon pertimbangan supaya Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd. – sumber Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp