TERKINI

Api-apikan kebencian: Pemuda PN mahu lapor polis

Pemuda Perikatan Nasional – foto Utusan

KUALA LUMPUR, 11 Jan 2024 – Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa insiden serangan molotov cocktail di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham bukan tiket kepada pemimpin DAP berkenaan untuk membuat tuduhan tidak berasas kepada PN.

Ketika mengulas kenyataan Ngeh, Fadhli menegaskan bahawa Pemuda PN akan membuat laporan polis terhadap Ngeh kerana mendakwa Pas dan Bersatu mengapi-apikan kenyataannya sehingga membawa kepada kejadian kebakaran di rumahnya.

“Laporan polis ini bagi mengekang fitnah pemimpin DAP itu berhubung kejadian yang turut memusnahkan kereta miliknya.

“Kami ucapkan takziah kepada Ngeh atas insiden yang tidak diingini ini, tetapi ia bukan tiket kepadanya untuk membuat tuduhan tidak berasas terhadap kami.

“Ngeh tidak perlu mendahului pihak berkuasa dalam mengenalpasti punca kebakaran dan individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ini, jika benar insiden kali ini merupakan satu bentuk serangan,” lapor MalaysiaKini.

Sebelum ini, Ngeh mendakwa serangan yang bertujuan untuk membakar kediamannya itu dipercayai berpunca daripada kenyataannya sebelum ini berhubung cadangan supaya orang bukan Islam menganggotai jawatankuasa mengkaji perundangan syariah.

Susulan kritikan yang diterima, Ngeh sebelum ini telah memohon maaf dan menarik balik cadangannya untuk memasukkan pakar bukan Islam dalam jawatankuasa khas untuk mengkaji semula bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata Ngeh harus membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka secara bebas.

Katanya, kenyataan Ngeh juga cuba menutup kesilapan lalu yang menyinggung sensitiviti umat Islam.

“Ngeh juga tidak perlu berlagak suci kononnya telah memaafkan pembuat kesalahan walhal kamu baru sahaja melemparkan sebuah tuduhan dan fitnah yang jahat terhadap pembangkang dan orang yang mengkritik cadangan biadab kamu.

“Ngeh sekali lagi cuba mewujudkan isu ketegangan agama dan kaum dengan cuba mengheret insiden yang berlaku di rumah beliau dengan cerita yang tidak berpandukan bukti kukuh.

“Justeru, sebagai langkah untuk mengawal Ngeh daripada mengulangi tindakan jahat sebegini, Pemuda PN akan menggerakkan laporan polis bagi mengekang fitnah sangkaan jahat yang cuba diwujudkan oleh Ngeh terhadap PN khususnya dan umat Islam umumnya,” katanya.

Polis Perak mengesahkan kebakaran itu disyaki sebagai perbuatan khianat dan menyatakan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 2.50 pagi yang merosakkan tiga kenderaan dan anjung rumah Ngeh. – MalaysiaKini

Facebook
Twitter
WhatsApp