TERKINI

Stadium Merdeka dijangka dibuka semula pada suku kedua tahun ini

Stadium Merdeka. – foto The Star

KUALA LUMPUR, 11 Jan 2024 – Stadium Merdeka, yang merupakan satu daripada mercu tanda ikonik bersejarah negara dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini selepas ia ditutup sejak 2016.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, usaha restorasi untuk mengembalikan stadium itu kepada keadaan asal seperti pada 1957 mendapat kerjasama Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.

“Usaha restorasi bangunan bersejarah ini diharap dapat meningkatkan nilai warisan budaya negara serta mencipta peluang ekonomi dan sosial yang berkekalan, selain menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke lokasi ikonik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih sempena majlis perasmian Menara Merdeka 118 yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di ibu negara, semalam.

PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, anak syarikat PNB telah menubuhkan Merdeka Heritage Trust (MHT) 2006 untuk memulih, memelihara dan mengurus Stadium Merdeka.

Ia termasuk pemindahan teres tempat duduk bagi kapasiti yang lebih besar iaitu 45,000 yang dibina untuk Sukan SEA 1989.

Stadium Merdeka dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun dan menjadi tuan rumah bagi detik paling bersejarah apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, diikuti pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp