KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2023 – Pertikaian melibatkan wilayah Ambalat bakal mencetusian isu melibatkan keselamatan ketenteraan, tenaga dan dikhuatiri menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia, kata bekas ahli Parlimen.
Ahli Majlis Tertinggi, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Dr Ruhanie Ahmad berkata, sehubungan itu, kepimpinan kerajaan harus bijak menangani isu tersebut.
“Isu Ambalat melibatkan perbatasan maritim di Laut Sulawesi atau Selat Makasar yang berhampiran pesisir Sabah.
“Saya harap ia ditangani dengan telus, jelas dan tegas. Pertelingkahan maritim akan libatkan keselamatan maritim ketenteraan tenaga dan keharmonian diplomasi dua negara,” katanya, dalam satu video yang dimuat naik di laman media sosial TikTok miliknya, semalam.
Kawasan itu juga dipercayai mempunyai rizab minyak dan gas yang terbesar di Asia Tenggara.
“Jika ambalat tak diselesaikan ia bakal melibatkan keselamatan tenaga dan ekonomi Malaysia. Jika terus berlarutan ia boleh menyebabkan isu keselamatan ketenteraan. Ia boleh babitkan pertelingkahan ketenteraan.
“Sekaligus boleh sebabkan keadaan tak harmoni dari segi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Lebih-lebih lagi media dari negara jiran itu melaporkan kementerian berkaitan hal ehwal sumber hasil bumi sedang berusaha untuk kajian bagi mengenalpasti kekayaan di kawasan itu.
“Wujud beberapa berita dari Indonesia, kementerian bertanggungjawab mengenai sumber bumi Indonesia sedang buat kajian datar untuk memungkinkan kekayaan minyak dan gas di Ambalat diusahakan sama dengan Petronas dan syarikat minyak Indonesia Pertamina.
“Jika tidak libat blok Ambalat kenapa timbul berita seperti ini, kalau tak betul pihak kementerian luar kena buat pembetulan supaya tak timbulkan keresahan berkenaan kedaulatan tanah air kita,” katanya.
Katanya, Ambalat dipercayai berada dalam kawasan Malaysia setelah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) putuskan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan milik Malaysia.
“Susulan itu Ambalat juga berada dalam perairan zon ekonomi Malaysia,” katanya. – malayadaily.com