TERKINI

Tapak warisan Unesco : KP UMNO tolak cadangan perbincangan Kor Ming

Muhamad Akmal Saleh – malayadaily.com

SHAH ALAM, 13 Feb 2024 – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menolak ajakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahu berbincang dan bermesyuarat.

Ia berhubung cadangan Kor Ming yang mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dr Muhamad Akmal dengan tegas berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian dan ia tidak patut dibincangkan lagi.

“Tak ada apa yang perlu dibincangkan lagi.

“Tiada keperluan untuk cadangan ini. Titik,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO menolak sekeras-kerasnya cadangan ahli Parlimen Teluk Intan itu kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Bagaimanapun, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau secara sinis memaklumkan, pihaknya tidak menolak ajakan untuk bersemuka dengan Kor Ming bagi memberikan beberapa penjelasan berkaitan perkara tersebut.

“Jika nak jumpa boleh, tetapi kami nak ajar mengenai sejarah Tanah Melayu dan Perlembagaan Malaysia sekali.

“Kalau setuju, tentukan tarikhnya,” ujar beliau. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp