TERKINI

Isu Bawang Import : Putra cadang KPKM salur dana kepada peladang

Asmawar Bin Samat (gambar kecil) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 31 Mac 2024 – Parti Putra mencadangkan agar kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) menjalankan projek menanam bawang sebagai inisiatif usaha tani dengan melibatkan komuniti dan persatuan peladang.

Dalam satu kenyataan, semalam, Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam, Dato’ Asmawar Bin Samat berkata dana projek tersebut perlu diperuntukkan dan disalurkan segera agar usaha tersebut dapat mengurangkan beban import negara.

“Parti PUTRA ingin mengesyorkan agar pihak KPKM menjalankan Projek Bawang- Iniasiatif Usaha Tani bagi meningkatkan produktiviti dengan melibatkan komuniti/penduduk serta Persatuan Peladang Setempat.

“Inisiatif bersama dana projek bawang perlu diperuntukkan dan disalurkan segera bagi menjana pendapatan rakyat dan mengurangkan beban import negara, bukan janji keterjaminan makanan retorik dan penyedap ayat di Blue Print Pertanian semata-mata. Ujarnya.

Menurut Asmawar, pada awal tahun ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhamad Sabu mengeluarkan kenyataan jumlah import bagi dua jenis bawang iaitu bawang besar dan bawang kecil adalah 685,400 tan dengan nilai sebanyak RM1.58 bilion. Kementeriannya akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri bawang.

“Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata projek ‘upskilling’ tanaman bawang sudah dijalankan pada 24 Januari 2024 di kawasan seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai, Perak.

“Sasaran pihak kementerian adalah mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus dengan penambahan seluas 1,447 hektar kawasan tanaman setahun. Perak, Sarawak dan Perlis adalah antara tempat di negeri-negeri yang telah dikenalpasti. Katanya.

Namun demikian, Asmawar mempersoalkan bahawa pengumuman ini tidak menyebut bagaimana komuniti/penduduk setempat serta Persatuan Peladang akan dilibatkan bagi meringankan kos sara hidup mereka yang semakin meningkat.

“Apa yang telah disebut adalah penglibatan KPKM, Jabatan Pertanian Negeri dan MARDI. Ujarnya.

Tambah beliau, petani dan rakyat bawahan yang sedang dalam kesukaran hidup pastinya tertunggu-tunggu bila mereka akan diberi peluang untuk dilibatkan.

Asmawar menambah bahawa kaedah lama dengan pihak agensi syok sendiri sesama mereka tanpa libat urus dengan komuniti akan dianggap tidak membantu merakyatkan tanaman bawang samada di ladang atau di sekitar rumah. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp