TERKINI

Isu Kelewatan Komuter Bersifat Sementara – Menteri Pengangkutan

foto kredit awani

Adalah tidak wajar menganggap perkhidmatan komuter kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang semakin kurang popular hanya kerana isu kelewatan yang bersifat sementara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata masalah itu akan dapat diselesaikan sebaik sahaja projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 1 (KVDT1) siap sepenuhnya.

“Memang terdapat masalah perkhidmatan disebabkan pembinaan dan penaiktarafan landasan berkembar kita yang masih lagi berjalan dan ini beri kesan kepada operasi terutama kekerapan tren sedia ada dan sudah tentu jangka masa (menunggu) di stesen lebih lama, itu sebab ramai yang mengeluh.

“Kita akan terus berbincang dengan KTMB untuk melihat bagaimana untuk menambah kekerapan tren bagi mengatasi cabaran operasi ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Bersama Ke-10 KTMB dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan.

Beliau turut merujuk kepada Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang popular sehingga ramai mengeluh kerana tidak dapat membeli tiket.

“Jadi tak tepat mengatakan perkhidmatan KTMB tidak popular. Isu ini ia cuma melibatkan satu sektor sahaja iaitu komuter Lembah Klang sebab ada masalah operasi dan kita akui masalah ini,” katanya. – sumber AWANI

Facebook
Twitter
WhatsApp