TERKINI

Walau tak suka, Tun M hormat pilihan ahli parti

Mahathir Mohamad (tengah), Khairy Jamaluddin (kanan), Shahril Hamdan (kiri) – foto facebook Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA, 14 Nov 2023 – Mengimbau sejarah antara beliau dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap memberikan peluang dan laluan buat bekas perdana menteri ke-5 itu hingga menjadi Perdana Menteri, sungguhpun Tun Abdullah bukanlah pilihan utama beliau.

Ketika menjawab soalan Khairy Jamaluddin mengenai perselisihan antara Mahathir dan Abdullah, bekas Presiden UMNO itu berpandangan Tun Abdullah adalah salah seorang, orang yang menentangnya kerana memberikan sokongan kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar beliau ketika itu.

Situasi itu menyebabkan Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu Tun Abdullah dilantik sebagai menteri sekali lagi.

Namun, beliau akur dan menghormati pilihan ahli-ahli UMNO yang menyukai Abdullah dan beliau memberikan laluan kepadanya.

“Tetapi apabila dia bertanding untuk jawatan Majlis Tertinggi, tiba-tiba dia menang. Kemudian dia bertanding untuk Naib Presiden, dia menang juga. Saya terpaksa mengaku bahawa orang ini disukai ahli-ahli UMNO, saya tidak ada hak nak keluarkan dia.

“Sebab itu apabila kosong jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dia sudah jadi Naib Presiden UMNO, saya jadikan dia Timbalan Perdana Menteri walaupun beliau bukan orang yang menyokong saya dengan kesedaran bahawa apabila saya letak jawatan, dia akan menjadi Perdana Menteri,” jelasnya dalam program podcast Keluar Sekejap yang disiarkan pada selasa. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp