TERKINI

Rakyat Berhak Bercakap Isu 3R Selagi Tidak Cenderung Menghasut – Peguam

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 5 Sept 2023 – Haniff Khatri menegaskan rakyat berhak untuk bercakap dan menyentuh membabitkan kaum, agama, dan raja atau disebut sebagai 3R selagi mana tidak mempunyai kecenderungan menghasut.

Peguam itu menegaskan, rakyat boleh bercakap berkenaan perkara itu sekiranya ia bertujuan memberi pandangan atau pun untuk memperbetulkan fakta.

“Isu 3R ini kita memang ada undang-undang khusus iaitu Akta Hasutan, dimana kalau seseorang membuat kenyataan-kenyataan yang boleh mempunyai kecenderungan untuk menghasut atas tiga isu ni (3R) dan isu-isu lain maka dia boleh dituduh di mahkamah dibawah Akta Hasutan.

“Tetapi itu tidak bermakna rakyat Malaysia tidak boleh sentuh langsung isu agama, bangsa dan raja sebab di bawah seksyen yang sama, Seksyen 3(1) tadi, ini Seksyen 3(2) mengatakan, mana-mana ungkapan berkaitan agama, bangsa dan raja yang dibuat di atas niat suci untuk memberi pandangan atau untuk memperbetulkan fakta atau untuk membawa kepada perubahan melalui sistem yang dibenarkan undang-undang, itu tidak menjadi kesalahan,” katanya, dalam satu temubual malayadaily.

Beliau melihat pimpinan kerajaan memberi gambaran seolah-olah rakyat langsung tidak boleh bercakap dan menyentuh isu membabitkan 3R.

“Apa yang penting adalah, undang-undang ada tapi undang-undang menjadikan – sentuh 3R dengan cara yang salah baru menjadi kesalahan jenayah.

“Tapi kalau sentuh 3R dengan cara yang betul dan dibenarkan, maka itu bukan kesalahan,” katanya.

Tambahnya, bercakap berkenaan isu berkaitan dengan sejarah penubuhan Malaysia, isu berkaitan dengan jati diri negara, kemelayuan dan keislamannya, isu tentang salasilah raja, sultan, pembentukan Malaysia dan sebagainya adalah perkara yang boleh dihuraikan dan dinyatakan.

“Bukan dengan tujuan untuk mentomahkan atau menjatuhkan nama baik sesiapa. Itu perbezaanya.

“Yang menjadi masalah di sini adalah sejak daripada sebelum pilihan raya negeri baru-baru ini banyak kenyataan para pemimpin kerajaan yang memberi tanggapan kepada rakyat seolah-olah sentuh 3R saja tak boleh, itu salah. Itu sememangnya salah,” tegas Haniff.

Sehubungan itu, berhubung tindakan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad katanya menunjukkan kerajaan tidak faham garis panduan melibatkan isu berkenaan.

“Saya percaya ada isu baru-baru ini berkaitan dengan siasatan yang dibuat terhadap tokoh negarawan Tun Dr Mahathir, berkaitan beberapa kenyataan beliau.

“Saya nampak seolah-olah pihak kerajaan sendiri tidak faham apa itu kesalahan di bawah 3R dan apa itu bukan kesalahan di bawah 3R.

“Kenyataan Tun M berhubung dengan fakta bahawa rakyat berhak untuk membuat kenyataan agama, bangsa dan raja dengan cara yang betul adalah tepat sekali dari segi undang-undang, tidak berlawanan dengan Akta Hasutan sekalipun,” tambahnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp