TERKINI

Isu Parallel Pathways: KKM cadang pindaan Akta Perubatan 1971

Gambar hiasan – foto Newswav

KUALA LUMPUR, 6 Jun 24 – Menteri Kesihatan dan Menteri Pendidikan Tinggi telah mengemukakan cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan parallel pathway.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan pindaan akta itu telah dikemukakan menerusi Memorandum Jemaah Menteri, semalam.

“Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan ini. Rang Undang-undang untuk pindaan itu akan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 2024 setelah diluluskan oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dzulkefly Jemaah Menteri juga cakna terhadap keperluan perkhidmatan kepakaran di semua fasiliti kesihatan yang semakin meningkat di seluruh negara.

Beliau berkata, melalui pindaan berkenaan, beliau berkata kedua-dua laluan latihan kepakaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dari aspek perundangan.

“Dengan itu juga, para doktor yang telah menyempurnakan mana-mana program seperti di atas akan dapat didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Ini sekali gus membolehkan segala isu-isu berbangkit diselesaikan segera,” katanya.

Beliau berkata, KKM akan memastikan kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan serta aspek keselamatan pesakit tetap terjamin apabila pindaan berkenaan dibuat.

Isu berkaitan Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotorasik.

Sebelum itu, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) telah menolak permohonan empat pakar bedah kardiotorasik untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp