PUTRAJAYA, 3 April 2024 – Pemimpin Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sebagai tidak profesional berhubung isu Pulau Batu Putih.
Dalam satu kenyataan, Khairuddin turut beranggapan kenyataan Azalina itu mendahului proses siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI).
“Saya amat kecewa dengan kenyataan dari sahabat baik YB Dato Seri Azalina Othman Said yang tidak professional langsung serta mendahului peranan ‘RCI’ dalam menyiasat isu Pulau Batu Putih.
“Sekiranya YB Dato Seri Azalina Othman Said sudah ada ‘conclusion’ mengenai isu Pulau Batu Putih maka pihak kerajaan tidak perlu lagi menubuhkan ‘RCI’ untuk menyiasat mengenainya. Ujar beliau.
Khairuddin sebaliknya berpendapat bahawa Azalina tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai pendirian kerajaan PH pada tahun 2018 dalam isu Pulau Batu Putih.
“Apakah YB Menteri Undang-undang masakini tahu bahawa Kerajaan PH pada waktu itu juga telah mengambil pandangan dari pengamal-pengamal undang-undang yang dilantik oleh kerajaan kleptokrasi di bawah kelolaan Peguam Negara pada waktu itu serta juga pakar undang-undang luar yang berada di bawah kelolaan Tan Sri Apandi Ali?
“Kini kelihatan YB Dato Seri Azalina Othman Said bersikap ‘lebih sudu dari kuah.’ Bidas Khairuddin.
Beliau menambah, kesemua menteri kabinet bersetuju bahawa usaha untuk memfail rayuan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak akan berjaya dan memakan masa yang panjang serta melibatkan kos yang amat tinggi.
“Perkara ini telah dibawa ke kabinet dan mendapat persetujuan kabinet secara kolektif.
“Ramai daripada anggota kabinet pada hari ini juga berada dalam kabinet kerajaan PH pada waktu itu. Tegas Khairuddin.
Dalam kenyataan yang sama, Khairuddin menggesa Azalina sebagai seorang yang faham undang-undang untuk memeriksa latar isu ini di mana ia bermula dengan peranan Peguam Negara terdahulu iaitu Tan Sri Apandi Ali yang jelas seorang personaliti yang tidak mempunyai kredibiliti.
“Pada suatu masa dahulu Tan Sri Apandi Ali membuat keputusan kononnya kes 1MDB dan Dato Sri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Semasa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azimah membuat ‘judgements’ kes Apandi Ali vs Lim Kit Siang telah menyatakan bahawa Tan Sri Apandi Ali gagal melaksanakan tugas sebagai Peguam Negara dalam kes skandal 1MDB malahan kemungkinan bersubahat untuk menutup kes tersebut.
“Berlatarbelakangkan ini apakah YB Dato Seri Azalina Othman Said tidak rasa malu dan gagal di dalam menasihatkan kerajaan supaya tidak menggunakan Tan Sri Apandi Ali dalam apa-apa kes sekalipun termasuklah penilaian kes Pulau Batu Putih kerana amat jelas mantan Peguam Negara ini tiada kredibiliti langsung. Ujarnya.
Khairuddin yang juga orang kuat Mahathir berpendapat bahawa negarawan tersebut tidak pernah takut pada sesiapa pun kerana beliau senantiasa berpegang pada prinsip ‘berani kerana benar.’
“Masa ketika bakal membuktikan ini merupakan satu konspirasi jahat yang secara sengaja cuba untuk mencemarkan kredibiliti Tun Dr Mahathir Mohamad. Katanya.
Baru-baru ini, Datuk Seri Azalina Othman Said membuat kenyataan di dewan negara bahawa Perdana Menteri yang membuat keputusan secara sembunyi adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa.
Beliau mendedahkan, Perdana Menteri ketika itu membuat keputusan secara bersendirian, tanpa sesiapa mengetahuinya termasuk Peguam Negara yang bercuti ketika itu. – malayadaily.com