TERKINI

Isu SMJK: NGO mahu kerajaan kaji kewajaran kewujudan sekolah vernakular

Aminuddin Yahaya (duduk tengah) – foto Gabungan Nasionalis

PUTRAJAYA, 7 Jun 24 – Sebuah organisasi bukan kerajaan, Gabungan Nasionalis mempersoalkan hala tuju sekolah vernakular yang dianggap tidak menghormati bahasa kebangsaan kerana menentang arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan bahasa pengantar disekolah-sekolah tersebut.

Pengerusi NGO, Aminuddin Yahaya berkata, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan kewajaran kewujudan sekolah berkenaan.

“Gabungan Nasionalis berpendirian mereka ini yang menentang kehendak Kementerian Pendidikan berkaitan hal ini, merupakan kumpulan yang menentang dasar pendidikan negara dan hal-hal yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Keadaan ini memberikan satu persoalan akan halatuju sekolah vernerkular ini kerana tidak menghormati Bahasa Kebangsaan dan kami berpandangan sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan kewajaran kewujudan sekolah berkenaan. Katanya.

Tambah Aminuddin, kenyataan kumpulan ini tidak mempunyai ciri patriotisme dan menentang usaha kerajaan ke arah melahirkan perpaduan kaum.

“Keengganan untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar bukan sahaja bertentangan dengan Titah YDPA yang menggesa kerajaan berusaha dalam mencapai perpaduan kaum tetapi juga dilihat bersifat angkuh. Ujarnya.

Rabu lalu, media melaporkan Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang, Datuk Seri Koay Hean Eng yang mewakili 11 sekolah berkenaan menyatakan bantahan arahan kementerian adalah menguatkuasakan pelaksanaan DLP dengan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini.

Surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri bertarikh 15 April sudah dihantar kepada pengetua 36 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) juga 52 SMJK dan SMK. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp