TERKINI

Isu Tafsir Ayat al-Quran: Howard Lee Beri Keterangan Esok

Howard Lee Chuan How – foto Howard Lee Facebook

IPOH, 25 Sept 2023 – Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How akan memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan terhadap beliau yang didakwa membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran Selasa ini.

“Pihak polis telah menghubungi saya dan saya akan memberikan kenyataan pada tengah hari Selasa ini di Ipoh,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini pada Ahad.

Howard berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada polis namun enggan mengulas lanjut.

Pada Jumaat lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya akan merekod keterangan Howard dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ Bukit Aman.

Sebelum itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan asal atau laporan pertama kes tersebut dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur manakala badan bukan kerajaan iaitu Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak turut membuat laporan pada Khamis lepas.

Presiden Jabat Perak, Amiruddin Mohd Daud berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil terhadap Howard yang dianggap menghina Islam kerana membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran sekali gus menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp