TERKINI

Jakim Sangkal Laporan Cerapan 1 Syawal 1443 Tidak Sah

foto fuh.my

PUTRAJAYA, 14 April 2023 – Laporan yang menyatakan hasil cerapan 1 Syawal 1443H yang ditetapkan pada 2 Mei 2022 tidak sah dan terbatal, adalah tidak benar, menurut Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hari ini.

Menurut Jakim yang memberi maklum balas laporan Utusan Malaysia bertajuk “Cerapan Anak Bulan Lebih Ketat Dan Teliti” menegaskan hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

“Pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan.

Dalam kenyataan yang sama, Jakim menyatakan bahawa kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang merupakan ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal (anak bulan/bulan sabit) menerusi peralatan teodolit.

Menurutnya lagi, imej yang diperoleh kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur.

Satu perbincangan khusus juga kemudiannya dilaksanakan oleh mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan, sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat, menurut kenyataan itu.

“Kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong,” menurut Jakim.

Jakim memberi peringatan agar semua pihak diminta berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp