TERKINI

Jangan Dera Rakyat Kerana Pilihan Mereka, MB Terengganu Tawar Diri Jadi Galang Ganti

Rafizi Ramli (kiri), Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 2023 – Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menjadikan rakyat di negeri pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai mangsa kerana memilih pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata, beliau bersedia menjadi sasaran kemarahan pentadbiran kerajaan Pusat asalkan rakyat di negeri berkenaan tidak dianak tirikan.

“Jika ada menteri yang marahkan rakyat Negeri Terengganu kerana memilih kami dalam pilihan raya baru ini, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi.

“Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka,” kata Shamsuri, melalui hantaran di media sosialnya, semalam.

Naib Presiden PAS itu mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli yang berkata, negeri ditadbir PN tidak mempunyai pelan ekonomi dan masih lagi meminta peruntukan sedangkan kerajaan Pusat sudah memberikan tumpuan khusus kepada mereka.

Rafizi, yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis merupakan antara penerima tertinggi dana peruntukan daripada kerajaan, namun mereka tidak mempunyai sebarang pelan untuk ekonomi.

Shamsuri yang juga Adun Ru Rendang sebaliknya menegaskan, hasil yang dikutip kerajaan datang daripada semua rakyat dan negeri tanpa ada yang terkecuali.

“Setiap rakyat ada bayar cukai, tak kira apa nama atau jenis cukainya. Hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan.

“Maka semua negeri-negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua negeri-negeri ini,” katanya.

Tambahnya, isu yang dibangkitkan Rafizi ibarat menembak ke kaki sendiri, kerana semua bidang kuasa kerja kerajaan adalah termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau turut mengingatkan Rafizi, sebagai menteri Persekutuan beliau harus memiliki jiwa yang besar.

“Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar. Pandangan kita walau hebat macam mana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata, tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah.

“Kalau itu pun tidak boleh, negara kita tidak akan bergerak ke hadapan. Bye-bye keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan oleh rakyat semua.

“Kalau apa yang saya nukilkan ini salah, mohon banyak kemaafan, saya hanya mahu kita semua bergerak pantas ke hadapan,” tambah Shamsuri lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp