KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2023 – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu tunduk kepada tekanan agar budaya lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) diterima, kata pemimpin Proklamasi Orang Melayu.
Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Wilayah Persekutuan Yusnidar Abdullah berkata, dasar khusus berhubung Bung perkara itu seharusnya digubal bagi mengekang penularan budaya songsang tersebut.
“Islam adalah agama rasmi negara ini dan rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu dan penganut agama Islam, seharusnya berpegang teguh kepada nilai-nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama yang sekian lama diterapkan dikalangan masyarakat tempatan.
“Budaya LGBT bukan hanya bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia malah bertentangan dengan undang-undang negara,” katanya, dalam satu kenyataan.
Tegasnya, sememangnya terdapat kebebasan beragama dan hak asasi manusia, perbuatan LGBT itu bercanggah dengan pegangan agama Islam.
“Kerajaan sewajarnya perlu menggubal suatu dasar khusus bagi membasmi penularan budaya LGBT yang semakin berleluasa secara terbuka dalam negara ini.
“Kerajaan juga perlu tegas tidak akan mengalah kepada sebarang tekanan untuk menerima amalan songsang di kalangan rakyat negara ini, terutamanya yang melibatkan unsur LGBT,” katanya.
Beliau mengulas pendirian calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet yang menghormati pendirian individu untuk isu itu.
“Saya mendapati kenyataan Altimet ini bercanggah dengan prinsip seseorang yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam.
“Memanglah dalam negara ini ada kebebasan beragama, tetapi apabila sesuatu perkara yg dilakukan bercabggah dengan agama Islam, jawapannya bukan “it’s okay” seperti yg disebut oleh Altimet. Kenyataan Altimet ini amat mengecewakan apalagi beliau adalah calon wakil rakyat,” katanya.
Yusnidar juga mendakwa justeru itu PH tidak boleh dibiarkan berkuasa kerana gabungan itu membawa pandangan menjurus kepada liberalisme.
Yusnidar mendakwa, pemikiran seperti itu mengancam minda generasi muda khususnya anak muda Melayu dan Islam.
“Kerajaan perpaduan yang diterajui PH lebih menjurus kepada budaya liberal. Justeri itu, jika dibiarkan berkuasa mereka ini akan terus cuba mempengaruhi generasi muda.
“Pemimpin beginikah yang kita mahu untuk menjadi pelapis kepada generasi muda yang sudah tentunya akan melibatkan anak cucu kita nanti?,” katanya lagi.
Ketika penamaan calon pada Sabtu lepas, Altimet dilapor berpendirian budaya songsang itu bercanggah dengan Islam.
Namun begitu, memetik ayat daripada surah Al Kafirun, sebagai penganut Islam, beliau berpendirian ‘untukmu agamamu, untukku agamaku’.
“Sebenarnya saya sangat konservatif, ia bercanggah dengan pegangan saya, tetapi kamu mempunyai pegangan kamu sendiri, ia ok,” (it’s against my belief but you have your belief, its okay),” katanya.
Polis telah menahan lapan lelaki kerana disyaki menyertai perhimpunan mempunyai unsur LGBT di hadapan pusat beli belah Sogo, Sabtu lalu, ketika enam negeri terlibat menjalankan proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos nanti.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 56 tahun terbabit ditahan pada hari sama adalah anggota kumpulan ‘The Ahmadi Religion of Peace and Light’.
Beliau berkata dalam himpunan tersebut, mereka membawa kain rentang menyokong LGBT dan melaungkan Mahkamah Syariah dibubarkan. – malayadaily.com