TERKINI

Janji Turunkan Harga Minyak Tidak Boleh Dilaksanakan, Kata Rafizi

Rafizi Ramli – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 31 Julai 2023 – Bantuan kebajikan untuk rakyat terpaksa dipotong jika kerajaan ingin menurunkan harga minyak, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Timbalan presiden PKR itu berkata, untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) kerajaan perpaduan boleh mengumumkan penurunan harga bahan api itu namun ia bukan tindakan yang bertanggungjawab untuk dilakukan.

“Kerajaan kena bayar subsidi sampai RM80 bilion, bayar lagi faedah atas hutang lebih kurang RM30 bilion, tambah pula gaji pekerja, sewa bangunan kerajaan dan perbelanjaan kerajaan beratus-ratus bilion.

“Akhirnya duit itu habis semua, jadi bagaimana kita hendak bantu rakyat untuk naikkan gaji, bina lebih banyak rumah dan wujudkan program basmi kemiskinan yang mengubah kehidupan rakyat.

“Termasuk gaji cikgu dipotong, projek rumah rakyat miskin dihentikan dan bekalan air di Kelantan serta Sabah tidak dapat diselesaikan.

“Jadi beritahu kami mana satu tindakan bertanggungjawab perlu dilakukan?,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian dalam Jelajah Madani di Sungai Tua, Gombak malam tadi.

Kenyataan itu dilihat berbeza dengan janji Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum ini yang berjanji untuk menurunkan harga petrol, sehari selepas beliau mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.

Anwar dilantik menjadi perdana menteri mengetuai kerajaan perpaduan selepas membentuk kerjasama dengan 18 parti komponen termasuk Barisan Nasional (BN) dan parti dari Sabah dan Sarawak.

Rafizi berkata kerajaan membelanjakan subsidi RM1 atau dua pertiga daripada kosnya yang dianggarkan jumlah keseluruhannya berjumlah RM25 bilion bagi satu liter RON95 yang kini berharga RM2.05.

Untuk tahun lalu sahaja, subsidi untuk RON951, diesel dan elektrik katanya mencecah RM80 bilion, dengan pendapatan kerajaan dianggarkan sekitar RM300 bilion.

“Rakyat bertanya kepada kita mengapa tidak turunkan harga petrol. Pertamanya, hutang sekarang RM1.5 trilion. Kita ada hutang besar, jadi kerajaan harus buat pilihan,” tambah Rafizi.

Sebelum ini, Rafizi juga menepis desas-desus harga bahan api petrol RON95 dan diesel akan diturunkan.

Harga minyak mentah dunia juga telah meningkat kepada AS$70 setong dan pernah mencecah sekitar AS$83 setong, katanya, lagi.

Sebelum ini, MIDF Research menjangkakan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan harga runcit RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan.

Kenyataan Rafizi itu turut mendapat reaksi daripada pentadbir akaun Facebook bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kenapa dulu dia tidak beritahu ketika Najib jadi perdana menteri?,” soalnya.

Rafizi adalah antara pemimpin pembangkang waktu itu lantang bersuara mendesak harga minyak diturunkan dan katanya mempunyai formula untuk perkara itu dilaksanakan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp