TERKINI

Jelaskan Isu Pajakan Pulau Pinang Dengan Fakta, titah Sultan Kedah

Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah – Foto kosmo digital

KUALA LUMPUR, 19 jUN 2023 – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, adalah amat tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri itu didiamkan terutama jika melibatkan sejarah dan kedaulatan Kedah.

Baginda bertitah, isu melibatkan pajakan tanah Pulau Pinang perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.

“Sejak akhir-akhir ini, perbincangan mengenai sejarah Kedah mulai subur di pelbagai platform. Rakyat dari segenap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai sejarah Kedah khususnya berhubung kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

“Pada hemat beta, perkembangan ini adalah satu perkembangan yang baik. Beta berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu,” titah baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Malah baginda turut mengingatkan bahawa pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara Malaysia tidak seharusnya menjadi titik yang membenarkan sejarah negeri Kedah yang telah wujud sejak sekian lama dipadamkan.

“Ekoran daripada rentetan sejarah tersebut serta hasil daripada persetujuan negeri-negeri maka tertubuhlah Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia. Bagi mentadbir Malaysia, sebuah kerajaan di peringkat Pusat iaitu Kerajaan Persekutuan ditubuhkan dengan kerajaan-kerajaan sedia ada di peringkat negeri dikekalkan.

“Kuasa yang dinikmati oleh Kerajaan Persekutuan pada hari ini adalah hasil daripada pemberian yang diberikan oleh negeri-negeri melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang dimeterai pada tanggal 5 Ogos 1957,” titah baginda.

Bagaimanapun, baginda bertitah, perbincangan mengenai isu itu harus berlandaskan fakta yang berasas dan tepat.

“Adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang.

“Hal ini adalah kerana sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar kita seni bernegara,” titah baginda lagi.

Sultan Sallehuddin turut bertitah bahawa peristiwa lampau harus dijadikan pedoman serta peringatan agar semua pihak lebih berhati-hati dalam bertindak dan berurusan.

“Perjuangan menjaga hak dan kedaulatan negeri kini bukan lagi di medan perang sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan negeri terdahulu. Medan perjuangan kini adalah di meja-meja rundingan dan melalui tinta-tinta tulisan.

“Namun begitu, keberanian yang ditunjukkan oleh pahlawan terdahulu sebagaimana yang telah terpahat dalam lipatan sejarah Perang Musuh Bisik pada kurun ke-19 harus dicontohi dan dihayati oleh generasi masa kini,” titah baginda. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp