JITRA, 7 Mei 2023 – Beberapa peniaga buah tembikai di negeri ini mendakwa mengalami kerugian apabila jualan merudum akibat lambakan buah itu selain keadaan cuaca panas yang menyebabkan tembikai yang disimpan menjadi cepat rosak.
Abdul Azis Dogoi, 68, berkata selain itu jualan ketika musim panas ini sedikit merosot dan menjejaskan pendapatannya sekali gus berhadapan masalah untuk menampung kos perniagaannya.
“Jualan semasa musim panas ini, agak kurang laris tapi masih ada pelanggan yang beli, cumanya harga buah gred A boleh turun sehingga RM2 sekilogram, tapi dengan keadaan sekarang saya tetap kena jual RM3 sekilogram, sebab hendak bayar lori, pekerja dan plastik,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Abdul Azis yang menjalankan perniagaan di Ayer Hitem, Jerlun berkata kebiasaannya dia mendapatkan stok tembikai sebanyak 10 tan daripada pekebun untuk tempoh dua minggu, namun kira-kira satu tan akan mengalami kerosakan ekoran cuaca panas dan terpaksa dibuang.
Sementara itu, Khairul Anuar, 46, yang menjual tembikai di gerai jualan di sini, turut terkesan dengan penurunan harga tembikai yang berlaku akibat lambakan buah tersebut dan terpaksa menanggung kerugian apabila sekitar 500 hingga 600 kilogram buah tembikainya rosak.
“Modal untuk selori dalam anggaran RM30,000 dan harga tembikai merudum dari RM5 sekilogram turun ke RM1 sekilogram, rosak pun banyak juga,” katanya yang turut menyatakan lambakan tembikai ketika ini turut didorong peningkatan pengeluaran di negeri-negeri lain termasuk Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, seorang pemilik kebun tembikai, Kso Seong Guan, 68, yang menanam tembikai sejak lebih 30 tahun lepas berkata cuaca panas yang berpanjangan ketika ini menyebabkan tanamannya tidak dapat berbuah dengan baik.
“Pengeluaran buah tembikai tidak berapa elok, kerana cuaca terlampau panas dalam jangka masa yang panjang menyebabkan pembesaran tembikai terbantut, tidak bulat, dulu negeri lain datang ambil (tembikai) di Kedah, tetapi sekarang tidak lagi kerana mereka sudah menghasilkan buah sendiri,” katanya. – Bernama