TERKINI

Jutawan Hartanah Dipilih PM Thailand

Srettha Thavisin (tengah) – foto Berita Harian

BANGKOK, 23 Ogos 2023 – Srettha Thavisin seorang jutawan hartanah yang dianggap muka baharu dalam politik telah disahkan sebagai Perdana Menteri Thailand yang ke-30 selepas berjaya mendapatkan sokongan majoriti ahli Parlimen dan Senat negara itu.

Srettha, 61, yang mewakili parti Pheu Thai, memenangi undi di parlimen untuk bergelar Perdana Menteri beberapa jam selepas pengasas parti Pheu Thai, Thaksin Shinawatra, kembali ke Thailand selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

“Satu-satunya musuh saya ialah kemiskinan dan ketidaksamaan. Matlamat saya adalah untuk meningkatkan kehidupan semua rakyat Thai,” kata Srettha, memetik laporan astro awani.

Srettha yang juga muka baharu dalam arena politik itu menerima 482 undi, manakala 165 tidak bersetuju dan 81 lagi berkecuali.

Beliau melepasi jumlah 375 undi yang diperlukan untuk menjadi perdana menteri yang membolehkannya membentuk kerajaan.

Dikenali sebagai ahli perniagaan yang mesra, Pheu Thai menekankan kebijaksanaan beliau dalam mengurus perniagaannya serta keupayaannya untuk menguruskan ekonomi yang dalam proses pemulihan daripada wabak Covid-19.

Berasal daripada keluarga yang memiliki hubungan rapat dalam kalangan elit perniagaan, Srettha memulakan kerjayanya di Procter & Gamble cawangan Thailand selepas tamat belajar dalam jurusan ekonomi dan pengurusan di Amerika Syarikat.

Pada tahun 1990, beliau bersama beberapa sepupu mendirikan syarikat yang kemudiannya berkembang menjadi pembangun hartanah Sansiri yang akhirnya menjadi salah satu daripada syarikat hartanah terbesar di Thailand. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp